Disember 05, 2025 -Jumaat

 
  SITUASI SEMASA DEMAM DENGGI DI MALAYSIA MINGGU EPIDEMIOLOGI 36 (03 SEPTEMBER - 09 SEPTEMBER 2023)

Friday 15/09/2023



KUALA LUMPUR, 15 Sept (Bernama) -- Pada Minggu Epidemiologi ke-36 tahun 2023, jumlah kes demam denggi yang dilaporkan adalah sebanyak 2,284 kes berbanding 1,924 kes pada minggu sebelumnya, iaitu peningkatan sebanyak 360 kes (18.7%). Dua (2) kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-36 tahun 2023.
 
Kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga Minggu Epidemiologi ke-36 adalah sebanyak 82,485 kes berbanding 39,188 kes bagi tempoh sama tahun 2022, iaitu peningkatan sebanyak 43,297 (110.5%). Manakala sejumlah 59 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 24 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun 2022.
 
Bilangan lokaliti hotspot pada minggu ini menurun sebanyak 17 lokaliti menjadikan sebanyak 66 lokaliti hotspot dilaporkan berbanding 83 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya. Dari 66 lokaliti yang dilaporkan, 47 lokaliti di Selangor, 13 lokaliti di WPKL & Putrajaya, tiga (3) lokaliti di Kelantan dan masing-masing satu (1) lokaliti di Pulau Pinang, Perak dan Sabah.
 
Bagi survelan chikungunya, tiga (3) kes telah direkodkan pada Minggu Epidemiologi ke-36. Jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 166 kes. Bagi survelan zika, 2,266 sampel darah dan 196 sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif.
 
Jabatan Meteorologi Malaysia mengumumkan bahawa Malaysia sedang berada dalam fasa akhir monsun barat daya dan memasuki fasa peralihan monsun dalam bulan September. Dijangkakan cuaca panas pada siang hari dengan hujan pada petang hari. Oleh itu, pastikan tiada bekas yang menakung air terutamanya di luar rumah. Buang barang lusuh yang tidak digunakan. Tutup rapat bekas penyimpanan air serta kerap membersihkan bekas minuman haiwan peliharaan dan alas pasu di luar rumah. Amalkan tabiat membuang sampah di tempat yang telah ditentukan. Lakukan aktiviti Cari dan Musnah sekurang-kurangnya 10 minit setiap minggu bagi memastikan kawasan rumah bebas dari tempat pembiakan Aedes.Tiada Aedes, tiada denggi, chikungunya dan zika.

DATUK DR. MUHAMMAD RADZI BIN ABU HASSAN
KETUA PENGARAH KESIHATAN

15 SEPTEMBER 2023

LAMPIRAN

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Farahdila Wati binti Mohd Khamde Khuzaini

Pegawai Perhubungan Awam
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
Tel : +603-8883 3470
Faks : +603-8888 6187

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2025 MREM . All rights reserved.