Disember 05, 2025 -Jumaat

 
  ALUMNI TUNAS USAHAWAN BELIA BUMIPUTERA (TUBE) NEGERI SARAWAK BERJAYA JANA NILAI JUALAN HAMPIR RM10 JUTA

Monday 02/10/2023



Table
YB. Dr. Ripin bin Lamat, Timbalan Menteri, Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak dan Encik Rizal bin Nainy, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia dalam sesi interaksi bersama Alumni TUBE negeri Sarawak.
 
KUCHING, 2 Okt (Bernama) -- Alumni Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) Negeri Sarawak telah berjaya mencatatkan nilai jualan terkumpul sebanyak RM9.6 juta daripada RM154.38 juta jualan terkumpul yang dicatatkan oleh peserta TUBE dari seluruh negara. Program TUBE yang dilaksanakan oleh SME Corp. Malaysia, sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), adalah bertujuan untuk menggalakkan golongan belia Bumiputera berumur antara 18 dan 30 tahun menceburi bidang perniagaan. Pada tahun ini, sasaran utama peserta TUBE adalah daripada kalangan belia Bumiputera yang mempunyai kemahiran serta sijil daripada Institusi Pendidikan & Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Bagi menyediakan latihan lanjutan serta mendapatkan maklumbalas dan status terkini perniagaan Alumni TUBE, SME Corp. Malaysia dengan kerjasama Persatuan Tunas Usahawan Bumiputera Kenyalang (KITA) telah menganjurkan Sesi Temu Mesra (Meet & Greet) bersama Alumni TUBE 2023 Sarawak pada hari ini yang berjaya mengumpulkan hampir 100 peserta Alumni TUBE dari negeri Sarawak. Selain daripada mendengar amanat yang disampaikan oleh YB Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MySED) dan YBrs. Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, para peserta telah diberikan taklimat mengenai  kemudahan pembiayaan yang ditawarkan bagi tujuan pengembangan perniagaan, perkongsian kisah kejayaan perniagaan oleh Alumni TUBE di samping peluang pasaran menerusi jaringan perniagaan di kalangan peserta. 

Di antara kemudahan pembiayaan yang dikongsikan adalah inisiatif terkini di bawah Program Pengukuhan Mikro Madani (Mikro Madani) yang memfokuskan kepada perusahaan mikro di Sabah dan Sarawak iaitu program BEEP Plus Sabah dan Sarawak. Program tersebut telah turut diumumkan oleh YB Datuk Amar Haji Awang Tengah bin Ali Hasan, Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) semasa Majlis Perasmian Penutup Showcase SDSI Wilayah Sarawak.
 
YB Dr. Ripin Lamat, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak dalam ucapan perasmiannya berkata, “Melalui pelbagai aktiviti keusahawanan belia, saya amat berharap agar inisiatif Kerajaan Pusat mahupun Kerajaan Negeri dapat membantu menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dan sekaligus membasmi kadar pengganguran di Sarawak. Selain itu, saya mengesa usahawan belia Sarawak untuk terus menerokai pelbagai bidang terutamanya industri berpertumbuhan tinggi (high growth industry) pada masa hadapan seperti bidang peranti perubatan, aeroangkasa, bioteknologi, dan sebagainya.”
 
Menurut YBrs. Encik Rizal bin Nainy, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, “Sejak mula dilancarkan pada tahun 2014 hingga kini, sejumlah 7,238 usahawan belia telah berjaya dilatih di bawah program TUBE dengan geran perniagaan berjumlah RM101.40 juta. Daripada jumlah tersebut, seramai 728 (10%) peserta adalah dari negeri Sarawak, melibatkan penyaluran geran permulaan perniagaan sebanyak RM10.12 juta. Berbanding negeri lain, Sarawak mempunyai bilangan peserta yang ke-dua tertinggi selepas negeri Sabah. Sehingga kini, seramai 7,041 peserta TUBE telah  mendaftarkan perniagaan masing-masing dan berjaya mewujudkan sebanyak 13,866 peluang pekerjaan baharu.”
 
Semasa program Showcase SDSI Wilayah Sarawak yang berlangsung dari 29 September hingga 1 Oktober 2023 di Plaza Merdeka, Kuching, SME Corp. Malaysia telah berkesempatan menyampaikan taklimat mengenai Program Mikro Madani yang menawarkan bantuan kewangan dalam bentuk geran dan pinjaman termasuk pemberian baucar bernilai RM100 untuk pendaftaran Status PMKS. 

Sumber: SME CORP MALAYSIA
 
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Pengarah
Bahagian Komunikasi Strategik
(U.P.   : Pn. Suraini Mohamad Sulaiman)
Tel      : 03-2775 6290
Emel : suraini@smecorp.gov.my

--BERNAMA 

 
 
 

Copyright @ 2025 MREM . All rights reserved.