Disember 04, 2025 -Khamis

 
  HARI KESIHATAN MENTAL SEDUNIA

Tuesday 10/10/2023



Kesihatan Mental Milik Semua, Hentikan Stigma” 


KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) --
 Hari Kesihatan Mental Sedunia disambut pada 10 Oktober setiap tahun dengan objektif untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan penjagaan kesihatan mental dalam kalangan masyarakat. Tema pada tahun ini, “Kesihatan Mental Milik Semua, Hentikan Stigma” menekankan bahawa kesihatan mental merupakan hak setiap individu tanpa ada pihak yang dipinggirkan.  
 
Di peringkat global, kemurungan merupakan salah satu daripada penyebab utama ketidakupayaan (disability). Di Malaysia, trend pemasalahan kesihatan mental menunjukkan peningkatan terutama bagi golongan kanak-kanak dan remaja di mana Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) menunjukkan satu (1) dalam empat (4) remaja mengalami gejala kemurungan pada tahun 2022 berbanding satu (1) dalam lima (5) remaja mengalami gejala kemurungan pada tahun 2019.
 
Stigma dan diskriminasi terhadap kesihatan mental adalah antara cabaran utama yang menjadi penghalang kepada akses terhadap rawatan dan penjagaan kesihatan mental yang baik. Persepsi negatif ini perlulah dihentikan. Individu yang mempunyai masalah kesihatan mental perlulah digalakkan untuk mendapatkan rawatan sama seperti penyakit fizikal yang lain.  

Peranan ahli keluarga dan masyarakat setempat adalah amat penting dalam menyokong, menggalakkan dan membantu individu yang mempunyai masalah kesihatan mental untuk mendapatkan bantuan dan rawatan professional yang sewajarnya. Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) juga turut memainkan peranan penting melalui aktiviti promosi kesihatan mental di peringkat komuniti bagi meningkatkan tahap literasi kesihatan mental masyarakat.
 
Kementerian Kesihatan Mental (KKM) akan terus mengukuhkan akses kepada perkhidmatan kesihatan mental yang berkualiti. Melalui penubuhan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH), KKM telah mewujudkan Talian Bantuan Krisis Kesihatan Mental iaitu Talian HEAL 15555 bagi meningkatkan akses kepada masyarakat bagi perkhidmatan bantuan sokongan kesihatan mental dan tele-kaunseling. Statistik panggilan yang diterima setelah hampir setahun beroperasi adalah sebanyak 26,139 panggilan di mana daripada jumlah ini, sebanyak 16,942 (65%) klien telah menerima bantuan sokongan emosi manakala 9,197 (35%) klien telah menerima intervensi khusus oleh Pegawai Psikologi Kaunseling. 
 
KKM turut bekerjasama rapat dengan agensi kerajaan, swasta, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan pemimpin masyarakat dalam merancang dasar dan pembangunan program di samping pelaksanaan program advokasi kesihatan mental di peringkat komuniti. 
 
KKM akan terus komited untuk memberi perkhidmatan kesihatan mental yang terbaik kepada segenap lapisan masyarakat. Halatuju perkhidmatan kesihatan mental negara seterusnya akan turut dipertingkatkan melalui pendekatan platform digitalisasi. Usaha secara bersepadu ini perlu digalas oleh semua pihak ke arah menoktahkan stigma terhadap individu yang mempunyai masalah atau penyakit mental.
 
Kesihatan Mental Milik Semua. Hentikan Stigma.
 
DR. ZALIHA BINTI MUSTAFA
MENTERI KESIHATAN MALAYSIA
10 OKTOBER 2023   


SUMBER : Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:

Nama : Farahdila Wati binti Mohd Khamde Khuzaini
Pegawai Perhubungan Awam
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
Tel : +603-8883 3470
Faks : +603-8888 6187
e-mel : farahdilawati@moh.gov.my

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2025 MREM . All rights reserved.