SABAK BERNAM, 23 Okt (Bernama) -- YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan, Jabatan Perangkaan Malaysia telah merasmikan Majlis Penutup Sambutan Hari Statistik Negara (HSN) di Stadium Sungai Besar pada 22 Oktober 2023. Majlis perasmian ini turut dihadiri oleh YBhg. Puan Hajah Nazaria Baharudin, Timbalan Ketua Perangkawan (Program Sosial dan Pembangunan Teknikal); YBhg. Datin Seri Rozita Talha, Timbalan Ketua Perangkawan (Program Ekonomi); YBrs. Encik Kamil Hafidh Halim, Wakil Pegawai Daerah Sabak Bernam; YBrs. Puan Hajjah Rosmah Haji Ihsan, Wakil Yang Dipertua Majlis Daerah Sabak Bernam; pegawai-pegawai kanan agensi kerajaan negeri, wakil-wakil agensi kerajaan lain serta komuniti penduduk Sabak Bernam.
Sambutan Hari Statistik Negara yang disambut setiap tahun adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang pentingnya statistik dalam kehidupan masyarakat dan negara. Selain itu, sambutan Hari Statistik Negara memberi ruang kepada masyarakat untuk melihat keunikan dan kesenian statistik dengan melibatkan diri dalam aktiviti yang dianjurkan oleh DOSM.
Majlis Sambutan “Yuk Mampir” HSN 2023 ini telah mendapat sambutan meriah daripada penduduk setempat terutamanya sekitar Sabak Bernam, Sekinchan dan Sungai Panjang. Selain daripada itu, karnival ini juga menerima kunjungan daripada pelajar-pelajar tadika, sekolah tahfiz, sekolah rendah dan menengah serta penuntut- penuntut universiti. Secara keseluruhannya, majlis ini dianggarkan telah menerima pengunjung sehingga 14,000 orang selama tiga hari dijalankan.
Sambutan HSN pada kali ini, pelbagai program dan aktiviti telah pun dianjurkan antaranya Pertandingan Debat Statistik antara Institusi Pendidikan Tinggi. Peringkat akhir debat ini adalah di antara Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM), yang telah dimenangi oleh USM.
Wawancara Statistik diadakan bersama Yang Dipertua Majlis Daerah Sabak Bernam, iaitu Tuan Azman Dahlan. Selain itu, dalam Sesi Literasi Statistik pula, turut menjemput bersama panel-panel DOSM bagi perkongsian pelaksanaan Banci Pertanian 2024 serta Penemuan Survei Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2022.
Begitu juga dengan agensi – agensi lain kerajaan seperti Jabatan Perikanan Malaysia, Lembaga Pertubuhan Peladang, Pembangunan Kawasan Sabak Bernam dan lain- lain lagi, turut menyertai acara pameran. Dalam majlis sambutan “Yuk Mampir” HSN 2023 ini juga, DOSM turut menganjurkan kuiz statistik yang mendapat sambutan yang amat menggalakkan.
Seterusnya, HSN 2023 ini juga menganjur pelbagai aktiviti bersama penduduk setempat antaranya jualan industri kecil sederhana dan Jualan Ehsan RAHMAH. Sebanyak 380 orang pengunjung telah menikmati Jualan Ehsan RAHMAH. Antara produk terdapat dalam jualan ini adalah beras, telur dan minyak. Turut mendapat sambutan Himpunan 1,000 Motor Klasik oleh Persatuan Raiders Mania. Dalam aktiviti bersama penduduk setempat ini juga, turut diadakan cabutan bertuah, Soopa Doopa dan mini zoo.
Acara TahunanSementara itu, berucap pada majlis penutup oleh YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan, Jabatan Perangkaan Malaysia berkata “Pertandingan Bola sepak Piala Ketua Perangkawan Malaysia bagi bawah 10 dan 12 tahun dan Larian D’Bendang akan dijadikan acara tahunan memandangkan sambutan hangat di kalangan komuniti setempat dan sambutan HSN 2023 di peringkat DOSM akan diteruskan sehingga ke penghujung tahun.”
Bagi acara kesenian dan kebudayaan pula, Sambutan “Yuk Mampir” HSN 2023 telah menganjurkan Pertandingan Suara Emas Hari Statistik Negara. Selain itu, turut diadakan persembahan Festival oleh Kumpulan Pentarama dari Jabatan Penerangan Malaysia dan pentas kebudayaan setempat.
DOSM juga telah melancarkan OpenDOSM NextGen sebagai medium yang menyediakan katalog data dan visualisasi bagi memudahkan pengguna menganalisis pelbagai data. OpenDOSM NextGen ialah platform perkongsian data sumber terbuka dan boleh diakses melalui portal
https://open.dosm.gov.my. Portal ini telah mencapai 1 juta
views sejak dilancarkan pada 12 Januari 2023. Semoga portal ini terus memberikan manfaat statistik kepada semua.