NIBONG TEBAL, Pulau Pinang, 27 Okt (Bernama) -- Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Negeri Pulau Pinang telah menganjurkan program Seminar Statistik Pertanian di Dewan Utama, Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kejuruteraan, Nibong Tebal, Pulau Pinang bersempena dengan Sambutan Hari Statistik Negara yang disambut pada 20 Oktober setiap tahun. Seramai 300 peserta telah menghadiri seminar ini yang terdiri daripada agensi pertanian iaitu tanaman, ternakan, perikanan dan perhutanan & pembalakan, pengusaha pertanian, koperasi terlibat pertanian, DOSM Ibu Pejabat dan DOSM Negeri.
Program yang julung kalinya dianjurkan ini telah dirasmikan oleh YB. Tuan Fahmi bin Zainol, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan & Pembangunan Koperasi Negeri Pulau Pinang. Majlis perasmian turut dihadiri Encik Khairolnizam bin Hassan, Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Pulau Pinang serta Ketua Jabatan/ Agensi Pertanian Negeri Pulau Pinang.
Penganjuran seminar ini bertujuan untuk memaklumkan tentang perancangan dan pembangunan sektor pertanian kepada peserta. Di samping itu, program ini juga adalah sebagai persediaan pelaksanaan Banci Pertanian 2024 yang merupakan Banci Pertanian keempat selepas tahun 2005 yang akan dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, keterlibatan agensi utama pertanian dalam perkongsian statistik pertanian serta sebagai platform bagi menjalin dan memperkukuh hubungan strategik antara agensi dengan komuniti pertanian.
Dalam pada itu, DOSM Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama Pertubuhan Peladang Kawasan Sungai Acheh juga mengadakan Jualan Agro Madani sempena Seminar Statistik Pertanian. Jualan Agro Madani telah disertai oleh usahawan tempatan dan pelbagai produk tempatan dijual seperti beras, produk sejuk beku dan sebagainya. Selain itu, Pertubuhan Peladang Negeri Pulau Pinang turut mengambil bahagian dalam jualan beras putih (tempatan) dengan membawa 1,000 kampit beras (10 kg) pada harga RM26.00.
Selaras dengan sambutan Hari Statistik Negara (HSN) pada tahun ini, DOSM Pulau Pinang telah menyusun pelbagai program dan aktiviti dalam bulan Oktober ini. Selain daripada Program Seminar Statistik Pertanian, antara program dan aktiviti lain yang dilaksanakan adalah Program Larian
Northern StatsRun, Seminar Statistik Kependudukan, Seminar Kecergasan dan Program Zumbastic@USM pada 20 Oktober yang lepas.
DOSM telah melancarkan OpenDOSM NextGen sebagai medium yang menyediakan katalog data dan visualisasi bagi memudahkan pengguna menganalisis pelbagai data. OpenDOSM NextGen ialah platform perkongsian data sumber terbuka dan boleh diakses melalui portal
https://open.dosm.gov.my.
Jabatan Perangkaan Malaysia akan menjalankan Banci Pertanian pada tahun 2024. Mohon layari
https://www.myagricensus.gov.my/ untuk maklumat lanjut. “Banci Pertanian, Kunci Kemajuan Pertanian.”
Dikeluarkan oleh:
Jabatan Perangkaan Malaysia
Negeri Pulau Pinang
27 Oktober 2023
SUMBER: Jabatan Perangkaan MalaysiaUNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:Nama: BAHARUDIN MOHAMAD
Pegawai Perhubungan Awam
Department of Statistics Malaysia
Tel: 03 – 8885 7942 dan 017-2635008.
Emel: baharudin@dosm.gov.my
--BERNAMA