Disember 04, 2025 -Khamis

 
  AT&S MALAYSIA ANJUR KEM EKSPLORASI SAINS DAN TEKNOLOGI PERINGKAT NEGERI KEDAH DUA TAHUN BERTURUT-TURUT

Thursday 02/11/2023




Table

AT&S Malaysia Anjur Kem Eksplorasi Sains dan Teknologi Peringkat Negeri Kedah Dua Tahun Berturut turut
Dari Kiri Ke Kanan: Vittorio Villari Pengarah Urusan AT&S Malaysia ; Dr. Mohd Rezal bin Dato' Paduka Haji Rasli , Timbalan Pengarah Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) Kedah; Loh Chin Ling, Pengurus ESG AT&S Malaysia



KULIM, 2 Nov (Bernama) -- AT&S Malaysia telah berjaya menganjurkan Kem Eksplorasi Sains dan Teknologi (STEC) peringkat negeri untuk dua tahun berturut-turut. Kem ini telah mendapat kelulusan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah untuk menjadi sebahagian daripada projek CSR bagi AT&S Malaysia. Inisiatif yang berterusan ini bertujuan memupuk minat dalam bidang sains dan teknologi di kalangan pelajar sekolah rendah dengan objektif utama menyediakan lebih ramai bakat bagi menyokong industri E&E Malaysia.
 
Kem ini dianjurkan dengan kerjasama Pejabat EXCO Kedah bagi Industri & Pelaburan, Pendidikan Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi, Universiti Kuala Lumpur Malaysian Spanish Institute (UniKL-MSI) dan Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah. Kedua-dua institusi pendidikan ini telah menyokong Kem dengan menghantar fasilitator mereka untuk membimbing para pelajar, antaranya tentang cara membuat sanitiser tangan serta memasang aksesori elektrik dan elektronik bagi kereta kawalan jauh bertenaga solar.
 
STEC 2023 melibatkan 12 buah sekolah rendah dengan sasaran 240 orang pelajar dari Daerah Kubang Pasu, Baling dan Kulim. Kem yang sama telah menyaksikan penglibatan seramai 160 orang pelajar pada tahun 2022.
 
Sempena majlis pelancaran, Pengarah Urusan AT&S Malaysia, Vittorio Villari berkata, “Saya belajar ilmu Fizik dalam aliran sains. Bagi saya, penyertaan dalam kem ini boleh membantu meningkatkan minat para pelajar dalam bidang sains dan teknologi. Saya berharap ada di kalangan pelajar di sini dapat menyertai AT&S Malaysia suatu hari nanti.” 
 
Majlis pelancaran turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Pengarah Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) Kedah, Dr. Mohd Rezal bin Dato' Paduka Haji Rasli. Beliau memuji inisiatif yang dilaksanakan dan berkata, “Kami sentiasa mencari rakan daripada sektor swasta untuk membangunkan lebih ramai bakat dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Kem ini sudah tentu dapat membantu merealisasikan Pelan Pembangunan Kedah 2035.”
 
Pada majlis yang sama, Sekolah Kebangsaan (SK) Baling, SK Sultan Ahmad Tajuddin, SK Bandar Baru Darulaman, SK Jitra, SK Paya Kemunting dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) telah mempamerkan beberapa projek inovatif yang menggunakan sains dan teknologi bagi menggalakkan minat para pelajar dalam bidang STEM.
 
Pendidikan Sains dan Teknologi merupakan salah satu daripada empat teras CSR AT&S Malaysia. Tiga teras yang lain ialah Sukarelawan AT&S dan Semangat Generasi Muda dalam bidang Sains dan Kejuruteraan, Pameran Teknologi Tinggi, Kemahiran Abad ke-21, serta Pembelajaran dan Tindakan Matlamat Pembangunan Lestari. Menurut Pengurus ESG AT&S Malaysia, Loh Chin Ling, “Pemupukan STEM di kalangan generasi muda adalah penting untuk kemampanan Industri E&E di Malaysia dan menyumbang kepada pertumbuhan KDNK negara.”

SUMBER: AT&S Austria Technologie & Systemtechnick (Malaysia) Sdn. Bhd.

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: 
Nama: Ruth Foo
Pengurus Hal Ehwal dan Komunikasi Korporat
AT&S Austria Technologie & Systemtechnik (Malaysia) Sdn. Bhd.
Tel: +6012 8922883
E-mel: ruth.foo@my.ats.net
 
Nama: Gerald Reischl
Naib Presiden, Komunikasi & Perhubungan Awam
AT&S Austria Technologie & Systemtechnik Aktiengesellschaft
Tel:+43 664 88592452
E-mel: g.reischl@ats.net  

--BERNAMA

 

 
 
 

Copyright @ 2025 MREM . All rights reserved.