Disember 04, 2025 -Khamis

 
  PENCAPAIAN TINDAKAN PENGUATKUASAAN DAN PERUNDANGAN DI BAWAH UNDANG-UNDANG KESIHATAN AWAM BAGI BULAN OKTOBER 2023

Friday 17/11/2023



KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia sentiasa berusaha meningkatkan mutu perkhidmatan untuk kesejahteraan penduduk Malaysia dan ini termasuklah mengambil tindakan penguatkuasaan undang-undang kesihatan demi kepentingan kesihatan awam. 

Bagi bulan Oktober 2023, berikut dimaklumkan hasil dan tindakan penguatkuasaan Undang-Undang Kesihatan Awam.

Melalui tindakan penguatkuasaan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 bagi tujuan pencegahan dan kawalan penyakit Demam Denggi, sejumlah 3,453 tawaran kompaun bernilai RM1,726,500 telah dikeluarkan dengan purata RM500.00 setiap kompaun. Sejumlah 385 kes telah didaftar untuk tindakan mahkamah dan dalam masa yang sama sebanyak 137 kes telah disabitkan kesalahan di mahkamah dengan jumlah denda RM262,160. 

Melalui penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004, daripada 22,361 premis yang dilawati, sejumlah 10,051 notis kesalahan dikeluarkan. Sebanyak 6,290 kompaun telah ditawarkan dengan nilai tawaran berjumlah RM1,457,300.

Melalui tindakan penguatkuasaan Akta Makanan 1983, sebanyak 6,273 premis makanan telah diperiksa. Jumlah premis makanan yang diberi perintah penutupan sementara di bawah Sek. 11, Akta Makanan 1983 adalah 163 premis iaitu 2.60% daripada keseluruhan premis makanan yang diperiksa. Tindakan penutupan sementara premis makanan yang dikuatkuasakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia adalah sebagai suatu langkah menjamin kebersihan premis serta makanan yang dihidangkan.

Adalah dimaklumkan, tindakan penguatkuasaan merupakan pilihan terakhir yang diambil oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Orang ramai serta semua pihak adalah diminta untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing agar keberkesanan pelaksanaan aktiviti kesihatan mencapai tahap optimum.

DATUK DR. MUHAMMAD RADZI BIN ABU HASSAN
KETUA PENGARAH KESIHATAN
17 NOVEMBER 2023 


SUMBER: ​Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Farahdila Wati binti Mohd Khamde Khuzaini

Pegawai Perhubungan Awam
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
Tel : +603-8883 3470
Faks : +603-8888 6187

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2025 MREM . All rights reserved.