ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Februari 25, 2024 -Ahad

 
  PCG MENCATATKAN PAT SETINGGI RM439 JUTA PADA 3Q 2023

Tuesday 28/11/2023



• Pendapatan sebanyak RM6.8 bilion
• EBITDA sebanyak RM1.0 bilion


KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) mencatatkan Keuntungan Selepas Cukai (PAT) sebanyak RM439 juta pada 3Q 2023 dengan jumlah pendapatan RM6.8 bilion di samping cabaran yang dihadapi dalam pasaran dan operasi sepanjang tempoh tersebut.

Pendapatan Kumpulan berkurang sebanyak 5% suku ke suku daripada RM7.1 bilion pada 2Q 2023 berikutan penurunan jumlah jualan di samping permintaan yang lebih rendah secara berterusan yang berpunca daripada kemerosotan dalam sektor pembuatan global. Segmen bahan kimia khusus yang menyumbang 22% kepada pendapatan Kumpulan telah mengalami isu pengurangan stok berterusan selaras dengan persaingan yang sengit, khususnya di Eropah.

Berteraskan dasar kumulatif 9 bulan, PCG mencatatkan pendapatan sebanyak RM21.5 bilion dan keuntungan selepas cukai sebanyak RM1.6 bilion.

Soroton Utama 3Q 2023 berbanding 2Q 2023

Pendapatan menurun sebanyak 5% kepada RM6.8 bilion (2Q 2023: RM7.1 bilion) disebabkan jumlah jualan yang lebih rendah dan harga purata produk yang lebih rendah.
Perolehan Sebelum Faedah, Pencukaian, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) dan margin EBITDA yang dicatatkan pada RM1.0 bilion (2Q 2023: RM1.1 bilion) dan 15% (2Q 2023: 15%), adalah setara dengan suku sebelumnya.
Keuntungan Selepas Cukai (PAT) lebih rendah sebanyak 31% pada RM439 juta (2Q 2023: RM633 juta) disebabkan oleh keuntungan pertukaran mata wang asing tidak direalisasi yang lebih rendah dan perbelanjaan cukai yang lebih tinggi.
Kadar penggunaan loji adalah pada 77% (2Q 2023: 82%) disebabkan oleh penutupan loji yang tidak dirancang serta kerja-kerja pemulihan dan penyelenggaraan loji berkala.

Mengulas mengenai keputusan tersebut, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif, Ir. Mohd Yusri Mohamed Yusof berkata, “Pada 3Q 2023, Kumpulan telah menjalankan pemulihan loji berkala di loji Ammonia kami di Kerteh dan penutupan berkala di loji baja di Bintulu. Selain itu, kami mengalami penutupan yang tidak dirancang di loji Metanol di Labuan serta loji-loji Methyl tert-butyl ether (MTBE) dan Propane dehydrogenation (PDH) di Gebeng. Aktiviti-aktiviti ini telah pun diselesaikan dan kini Kumpulan beroperasi pada kadar biasa dengan penggunaan melebihi 85%. Bagi bahagian pasaran, peningkataan permintaan yang beransur pulih dapat dilihat dalam beberapa segmen bahan kimia, tetapi margin keseluruhan masih rendah.”

Berbanding dengan 2Q 2023, segmen Olefin dan Derivatif (O&D) telah mengalami kemerosotan dalam harga purata produk sebanyak lebih kurang 4% berikutan permintaan yang berkurangan dan bekalan yang mencukupi, manakala segmen Baja dan Metanol (F&M) telah melihat peningkatan dalam harga terutamanya untuk urea berikutan bekalan yang terhad dan larangan eksport di China.

“Peningkatan sementara dalam harga produk kimia tertentu telah kembali mendatar menjelang akhir tahun. Keperlahanan bermusim dijangka untuk segmen olefin dan derivatif selaras dengan kebanyakan pembeli yang menunaikan kontrak berpenggal masing-masing.
Segmen baja berpotensi mendapat sokongan daripada penghantaran tender urea India yang dijangkakan pada Disember, sempena dengan musim tanaman iklim sejuk di Asia Selatan. Segmen bahan kimia khusus terus mengalami tekanan daripada ketidaktentuan makroekonomi yang berterusan, di samping pemulihan beransur dalam sektor automotif dan pengangkutan lantaran peningkatan semula industri pelancongan,” tambah Yusri.

“Pada bulan Oktober, kami telah memperoleh pencapaian yang penting dalam Agenda Ekonomi Plastik Baharu kami selaras dengan keputusan pelaburan terakhir syarikat untuk membina loji kitar semula kimia termaju di Pengerang, Johor. Dijangka beroperasi pada tahun 2026, loji tersebut akan menukarkan plastik akhir hayat kepada minyak pirolisis, yang boleh digunakan sebagai stok suapan dalam penghasilan plastik lestari. Kami berbesar hati dapat memainkan peranan dalam menggerakkan Pelan Hala Tuju Kelestarian Plastik Malaysia 2021-2030, dan seterusnya menyumbang ke arah mewujudkan ekosistem yang menggalakkan ekonomi sirkular untuk plastik,” akhiri beliau.

Mengenai PETRONAS Chemicals Group Berhad

PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) merupakan pengeluar bahan kimia bersepadu terulung di Malaysia dan antara yang terbesar di Asia Tenggara. Ia mengendalikan beberapa tapak pengeluaran bertaraf dunia di Malaysia, Asia Pasifik, Eropah dan Amerika Utara. Dengan jumlah kapasiti pengeluaran gabungan sebanyak 15.4 juta tan metrik setahun (mtpa), aktiviti perniagaan utama PCG melibatkan pengeluaran, pemasaran dan penjualan beraneka produk kimia, termasuk olefin, polimer, baja, metanol serta bahan kimia dan produk derivatif asas yang lain.

Disenaraikan di Bursa Malaysia dengan lebih daripada tiga dekad pengalaman dalam industri bahan kimia, PCG telah ditubuhkan sebagai sebahagian daripada Kumpulan PETRONAS untuk memaksimumkan nilai daripada sumber gas asli Malaysia.

PCG komited untuk memastikan amalan perniagaannya selaras dengan piawaian yang diiktiraf di peringkat global bagi amalan Ekonomi, Alam Sekitar, Sosial & Tadbir Urus (EESG). PCG kini disenaraikan dalam Indeks FTSE4 Good Bursa Malaysia (F4GBM) dan Indeks Dunia Kelestarian™ Dow Jones.

Maklumat lanjut berkenaan PCG boleh didapati di www.petronaschemicals.com.my

SUMBER: PETRONAS Chemicals Group Berhad

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Yogeswari Thangavelu
Tel: (6) 017 2000919
E-mel : yogeswari.thangavel@petronas.com

--BERNAMA



 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.