Disember 04, 2025 -Khamis

 
  SITUASI SEMASA DEMAM DENGGI DI MALAYSIA MINGGU EPIDEMIOLOGI 48 (26 NOVEMBER - 02 DISEMBER 2023)

Tuesday 12/12/2023



KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Pada Minggu Epidemiologi ke-48 tahun 2023, jumlah kes demam denggi yang dilaporkan adalah sebanyak 2,988 kes berbanding 2,686 kes pada minggu sebelumnya, iaitu peningkatan sebanyak 302 kes (11.2%). Terdapat satu (1) kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-48 tahun 2023.
 
Kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga Minggu Epidemiologi ke-48 adalah sebanyak 111,417 kes berbanding 58,239 kes bagi tempoh sama tahun 2022, iaitu peningkatan sebanyak 53,178 (91.3%). Manakala sejumlah 84 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 39 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun 2022.
 
Bilangan lokaliti hotspot yang dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-48 adalah sebanyak 95 lokaliti berbanding 79 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya. Dari 95 lokaliti yang dilaporkan, 71 lokaliti di Selangor, 10 lokaliti di WPKL & Putrajaya, lapan (8) lokaliti di Perak, empat (4) lokaliti di Sabah serta masing-masing satu (1) lokaliti di Johor dan Sarawak.
 
Bagi survelan chikungunya, terdapat empat (4) kes dan satu (1) wabak aktif  dilaporkan  pada Minggu  Epidemiologi  ke-48.  Jumlah  kumulatif  kes chikungunya sehingga kini adalah 192 kes. Bagi survelan zika, sebanyak 3,479 sampel darah dan 379 sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif.
 
Antara punca peningkatan kes denggi adalah disebabkan peningkatan curahan hujan berikutan musim Monsun Timur Laut (MTL). Keadaan ini boleh menyumbang kepada peningkatan bekas berpotensi pembiakan nyamuk Aedes. Masyarakat disarankan bersama-sama melakukan tindakan pencegahan seperti berikut:

a)   Mencari dan menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes seperti bekas-bekas yang boleh menakung air bersih dan jernih serta terlindung daripada cahaya matahari. Lakukan aktiviti cari dan musnah di dalam dan di luar premis, 10 minit sekali seminggu.

b)   Meletakkan bahan pembunuh jentik-jentik pada bekas yang ada air jernih bertakung seperti dalam pam tandas, dalam mangkuk tandas yang tidak digunakan/ rosak atau dalam kolah.

c)   Melakukan semburan aerosol dalam premis pada waktu awal pagi dan lewat petang bagi membunuh nyamuk dewasa

d)   Memakai baju lengan panjang dan seluar panjang serta memakai repelan atau bahan penghalau nyamuk pada bahagian badan yang terdedah kepada gigitan nyamuk.
 
Setiap lapisan masyarakat perlu bertanggungjawab, bertindak proaktif dan memainkan peranan masing-masing dalam usaha membantu mengurangkan kejadian kes demam denggi yang sedang meningkat. Tiada Aedes, tiada denggi, chikungunya dan zika.
 

DATUK DR. MUHAMMAD RADZI BIN ABU HASSAN
KETUA PENGARAH KESIHATAN

12 DISEMBER 2023


Sila klik di sini untuk Lampiran.


SUMBER : Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : Farahdila Wati binti Mohd Khamde Khuzaini
Pegawai Perhubungan Awam
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
Tel : +603-8883 3470
E-mel : farahdilawati@moh.gov.my

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2025 MREM . All rights reserved.