Disember 04, 2025 -Khamis

 
  SITUASI TERKINI COVID-19 DI MALAYSIA MINGGU EPIDEMIOLOGI 49 ( 3 DISEMBER 2023 - 9 DISEMBER 2023)

Wednesday 13/12/2023



KUALA LUMPUR, 13 Dis (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa pada masa ini terdapat peningkatan kes COVID-19 yang dilaporkan secara global termasuk juga di beberapa negara jiran. Di Malaysia, peningkatan ini seiring dengan tren yang berlaku pada setiap hujung tahun seperti dilaporkan di negara-negara lain. M ajoriti kes COVID-19 di Malaysia mengalami gejala ringan dan tidak memerlukan rawatan di hospital.

Pada Minggu Epidemiologi ke-49 (ME 49/2023), sebanyak 12,757 kes COVID-19 telah dilaporkan berbanding 6,796 kes yang dilaporkan pada ME 48/2023 (26 November 2023 hingga 2 Disember 2023). Secara keseluruhan, peratus kes kematian COVID-19 dari 25 Januari 2020 sehingga 9 Disember 2023 adalah 0.72%.

Dari segi kapasiti hospital pula, jumlah kemasukan pesakit COVID-19 (termasuk pesakit yang disyaki COVID-19) ke fasiliti kesihatan bagi penggunaan katil bukan kritikal adalah meningkat kepada 1.4 peratus berbanding ME 48/2023. Begitu juga dengan penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah meningkat kepada 1.4 peratus, dan peratusan pesakit COVID-19 memerlukan alat bantuan pernafasan (ABP) juga meningkat kepada 0.5 peratus. Walaupun terdapat peningkatan kes COVID-19, secara keseluruhan keadaan semasa di Malaysia masih dalam keadaan terkawal dan tidak membebankan fasiliti kesihatan sedia ada.

Pada ME 49/2023, sebanyak 26 varian Omicron baharu dilaporkan yang terdiri daripada 21 kes Variant of Concern (VOC) dan 5 kes Variant of Interest (VOI). Sehingga kini, tiada varian baharu yang dikesan di Malaysia. Varian yang masih menular di Malaysia adalah varian Omicron dengan subvarian XBB.1.16, XBB.1.5 dan EG.5. Varian ini, walaupun diketahui mempunyai kadar kebolehjangkitan yang tinggi, tetapi ianya tidak menyebabkan kes yang teruk. 

A) PERKHIDMATAN PEMBERIAN UBAT ANTIVIRAL PAXLOVID DI FASILITI KESIHATAN 

Ubat antiviral Paxlovid adalah sejenis ubat antivirus yang telah digunakan untuk merawat jangkitan COVID-19 di fasiliti kesihatan. Walaupun varian COVID-19 baharu terus muncul, rawatan menggunakan antiviral Paxlovid masih berkesan untuk semua varian COVID-19 yang ada buat masa sekarang. Rawatan antiviral masih boleh mengurangkan gejala COVID-19 dan mengelakkan penyakit daripada menjadi lebih teruk. 

Pesakit COVID-19 yang berisiko tinggi iaitu individu berusia 60 tahun dan ke atas, mempunyai daya tahan badan yang rendah, mempunyai apa-apa komorbid atau obes, adalah disarankan untuk mendapat rawatan Paxlovid.

Paxlovid berkesan apabila diambil dalam tempoh masa lima (5) hari daripada hari gejala bermula. Oleh itu, pesakit yang berisiko tinggi disarankan untuk menjalani ujian sebaik sahaja mereka mempunyai gejala. Jika ujian COVID-19 didapati positif, sila dapatkan penilaian perubatan awal di fasiliti kesihatan yang berhampiran untuk menentukan kelayakan anda mengambil Paxlovid. 

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa tanggapan bahawa ubat ini tidak berkesan untuk merawat pesakit COVID-19. Ia mungkin disebabkan oleh: 

i. Ubat ini digunakan oleh golongan bukan berisiko.
Gejala COVID-19 untuk golongan tidak berisiko pada umumnya adalah ringan. Oleh itu, Paxlovid kurang sesuai diberikan untuk golongan ini.

ii. Lewat untuk mendapatkan rawatan.
Antiviral paling berkesan sekiranya dimulakan awal dalam tempoh masa lima (5) hari daripada hari gejala bermula. Sekiranya terdapat kelewatan untuk mendapatkan rawatan, maka keberkesanan ubat akan berkurangan.

iii. Interaksi dengan ubat lain.
Pesakit mungkin ada mengambil ubat-ubatan lain untuk penyakit kronik dan sebagainya. Oleh itu, pengambilan ubat-ubat ini perlu diselaraskan semasa menjalani rawatan ubat Paxlovid. Doktor yang merawat akan memberikan nasihat yang sewajarnya berkaitan pengambilan ubat-ubatan tersebut. 

B) NASIHAT BERKAITAN COVID-19 

Kementerian Kesihatan Malaysia akan terus memantau situasi COVID-19 dan variant berkaitan dan ingin menasihati orang ramai supaya sentiasa mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti berikut: 

• Sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi, kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau pensanitasi;

• Membuat penilaian kendiri tahap kesihatan serta dinasihatkan agar tidak hadir ke mana-mana kawasan yang sesak dan menjadi tumpuan ramai sekiranya bergejala;

• Sentiasa memakai pelitup muka terutamanya bagi yang bergejala atau apabila berada di tempat tertutup, sempit dan sesak terutama kepada kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas, individu dengan penyakit kronik, individu dengan imuniti rendah, dan ibu mengandung;

• Mengamalkan TRIIS (Test, Report, Isolate, Inform, and Seek) sekiranya bergejala;

• Segera berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan bagi mendapatkan rawatan lanjut sekiranya gejala bertambah teruk terutama kepada kumpulan berisiko tinggi;

• Mendapatkan rawatan antiviral Paxlovid di Klinik Kesihatan atau pengamal perubatan swasta terdekat bagi individu positif COVID-19 dan berisiko tinggi. Senarai fasiliti-fasiliti kesihatan tersebut boleh didapati di laman sesawang COVID-19 KKM atau MySejahtera; dan

• Mendapatkan dos primer vaksin dan dos penggalak vaksin COVID-19 bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan, morbiditi, dan kematian terutamanya bagi golongan yang berisiko tinggi.

KKM juga menjangkakan akan berlaku peningkatan kes COVID-19 susulan pergerakan dan perjumpaan sanak saudara dan sahabat handai ketika sambutan Hari Krismas dan tahun baharu yang bakal tiba dan juga semasa musim cuti sekolah yang akan bermula pada 16 Disember 2023. Sehubungan dengan itu, KKM menggalakkan orang ramai untuk memakai pelitup muka sekiranya bergejala ketika aktiviti kunjung mengunjung bagi melindungi keluarga, jiran dan sahabat handai daripada mendapat jangkitan COVID-19.

DATUK DR MUHAMMAD RADZI BIN ABU HASSAN
KETUA PENGARAH KESIHATAN
13 DISEMBER 2023

SUMBER: Kementerian Kesihatan Malaysia​

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 
Nama: Farahdila Wati binti Mohd Khamde Khuzaini
Pegawai Perhubungan Awam
Unit Komunikasi Korporat
Tel: +603-8883 3470
Faks: +603-8888 6187

--BERNAMA 

 
 
 

Copyright @ 2025 MREM . All rights reserved.