Disember 04, 2025 -Khamis

 
  HASIL MENJUNJUNG KASIH KE BAWAH DULI YANG MAHA MULIA SULTAN JOHOR MERASMIKAN MENARA HASIL KLUANG

Thursday 14/12/2023



Johor, 14 Dis (Bernama) -- Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) telah melakar satu lagi sejarah dengan berlangsungnya Majlis Perasmian Menara HASiL Kluang pada hari ini. Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim berkenan mencemar duli menyempurnakan majlis yang penuh gilang-gemilang ini.
 
YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohd Nizom bin Sairi, Ketua Pegawai Eksekutif dalam ucapannya berkata Menara HASiL Kluang yang dirasmikan ini adalah untuk meraikan bangunan baharu yang siap dibina dalam usaha HASiL memperkasakan pentadbiran percukaian yang lebih cekap dan profesional. HASiL yakin elemen Awareness, Education and Services (A.E.S) akan dapat diterapkan dengan lebih efisien kepada pembayar cukai termasuklah penduduk di negeri Johor. Menariknya, bangunan 8 tingkat yang serba canggih ini telah mendapat pensijilan Indeks Bangunan Hijau (GBI) yang pertama di daerah Kluang dan diiktiraf berdasarkan konsep kelestarian serta penggunaan sumber yang cekap. 
 
Majlis perasmian ini turut diserikan dengan kehadiran barisan kepimpinan negeri Johor serta pengurusan tertinggi HASiL dengan kehadiran hampir 700 orang tetamu jemputan.
 
Sejarah awal penubuhan Cawangan Kluang, mula beroperasi pada 1 Januari 1972 dan adalah pejabat Jabatan Hasil Dalam Negeri (JHDN) yang kedua di negeri Johor. Kawasan pentadbirannya meliputi Daerah Kluang dan Batu Pahat serta kedudukan strategik di tengah-tengah negeri Johor merupakan faktor utama Bandar Kluang ini dipilih sebagai lokasi pentadbiran percukaian. Sebelum pembinaan Menara HASiL Kluang ini, Cawangan Kluang telah berpindah ke beberapa lokasi dan kemuncaknya HASiL memutuskan untuk membina bangunannya sendiri. Menara HASiL Kluang ini mula dibina pada 27 Oktober 2016 dan siap sepenuhnya pada 08 April 2019 yang lalu sebelum diserahkan kepada HASiL. 
 
Semoga kemajuan dan pembangunan ekonomi di negeri Johor dapat membantu HASiL terus cemerlang seiring dengan hasrat Kerajaan Madani dalam memakmurkan negara dan mensejahterakan rakyat.
 
Sebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh dimajukan kepada kami melalui:
a) Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara);
b) HASiL Live Chat; dan
c) Borang Maklum Balas di portal rasmi HASiL di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public/
 
Dikeluarkan Oleh:
Bahagian Komunikasi | Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia


Sumber: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Bahagian Komunikasi | Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia
Hasil Care Line : 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (luar negara)
Hasil Recovery Call Centre: 03-8751 1000  
Portal Rasmi : www.hasil.gov.my  

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2025 MREM . All rights reserved.