KUALA LUMPUR, 27 Dis (Bernama) -- Operasi Pangea merupakan operasi bersepadu dikoordinasikan oleh INTERPOL yang menyasarkan pengiklanan, pembekalan dan penjualan secara dalam talian produk farmaseutikal yang tidak berdaftar atau dicampur palsu di seluruh dunia. Objektif Operasi Pangea ini adalah untuk:
a. meningkatkan kesedaran orang ramai tentang risiko membeli ubat daripada laman sesawang palsu;
b. merampas produk tidak berdaftar, tiruan dan dicampur palsu dan mengeluarkannya dari pasaran;
c. menyekat akses laman sesawang yang menjual produk farmaseutikal yang menyalahi undang-undang;
Operasi Pangea XVI yang berlangsung dari 3 hingga 10 Oktober 2023 yang lalu, telah membawa kepada 72 tangkapan di seluruh dunia, rampasan produk farmaseutikal yang berpotensi berbahaya bernilai lebih daripada USD 7 juta, pembukaan 325 fail siasatan baharu dan penutupan lebih daripada 1,300 pautan iklan yang melibatkan jenayah farmaseutikal.
Ubat perangsang seks terus menjadi ubat yang paling banyak dirampas di seluruh dunia, menyumbang 22 peratus daripada keseluruhan hasil rampasan semasa Operasi Pangea XVI pada tahun ini. Bahan psikotropik seperti antidepresi yang menyalahi peruntukan undang-undang berada di tempat kedua iaitu 19 peratus, diikuti oleh hormon seks dan ubat gastrousus masing- masing menyumbang 12 peratus daripada hasil rampasan. Pelaksanaan Operasi Pangea XVI telah dikoordinasikan oleh INTERPOL dengan penglibatan pihak berkuasa yang terdiri daripada polis, kastam dan pihak berkuasa kesihatan daripada 89 buah negara di seluruh dunia. Operasi ini turut dibantu dan disokong oleh Europol, Pertubuhan Kastam Sedunia (World Custom Organization), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC), International Narcotics Control Board (INCB), agensi penguatkuasaan kesihatan dan Pharmaceutical Security Institute.
Di Malaysia, operasi ini diselaraskan oleh Bahagian Penguatkuasaan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan melibatkan kerjasama antara beberapa agensi seperti National Central Bureau (NCB)/Interpol Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Sebanyak 1,675 pautan laman sesawang termasuk akaun media sosial dan e-dagang dikesan menjual produk farmaseutikal yang menyalahi peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan, yang mana 76% daripada pautan ini adalah dalam platform e-dagang. Kesemua pautan ini telah diadukan kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, penyedia platform media sosial dan e- dagang untuk disekat akses dan diturunkan kandungan. Operasi pada tahun ini mendapati berlaku peningkatan dalam penjualan ubat-ubatan terkawal seperti bahan psikotropik, ubat penahan sakit, antibiotik dan ubat batuk yang dijual oleh penjual yang tidak berkelayakan atau tidak diberi kuasa.
Sepanjang tempoh operasi ini, sebanyak 330 bungkusan pos telah diperiksa dan sejumlah 58 bungkusan pos yang didapati mengandungi produk farmaseutikal tidak berdaftar telah dirampas. Selain itu, pemeriksaan turut dijalankan di semua pintu masuk utama di seluruh negara melibatkan kargo udara, lapangan terbang, pos sempadan dan terminal feri. Jumlah keseluruhan rampasan di kesemua lokasi ini adalah sebanyak 13,552 unit dengan nilai rampasan RM 132,498.00. Produk yang paling banyak dirampas di pintu-pintu masuk Malaysia adalah kosmetik (2,359 unit), diikuti oleh produk merawat penyakit gastrik (2,243 unit) dan steroid (1,673 unit). Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, KKM juga mendapati trend pembelian ubat penahan sakit dan suplemen kesihatan dari luar negara juga semakin meningkat setiap tahun. Pada tahun ini juga sebanyak 1,465 unit ubat penahan sakit dan 1,343 unit suplemen kesihatan turut dirampas di pintu masuk utama dan pusat pengedaran mel di seluruh Malaysia. Kebanyakan produk farmaseutikal dan kosmetik yang dirampas ini adalah berasal dari Australia, Bangladesh, Hong Kong, Jepun dan India.
Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, KKM turut menjalankan serbuan bersasar ke atas penjual dan premis perniagaan yang terlibat dengan penjualan secara dalam talian. Sebanyak 45 buah premis yang menjual produk farmaseutikal yang tidak berdaftar termasuk rumah kediaman, klinik dan premis perniagaan telah diserbu. Dalam serbuan tersebut, 96,691 unit produk farmaseutikal yang menyalahi peruntukan undang-undang telah dirampas untuk tindakan lanjut. Nilai rampasan adalah dianggarkan sebanyak RM 417,291. Serbuan dalam operasi kali ini mensasarkan bahan psikotropik yang menyalahi undang-undang yang dikuatkuasakan. Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, KKM turut merampas produk tradisional yang dicampur palsu dengan steroid, ubat penahan sakit dan ubat batuk yang tidak berdaftar dan dijual oleh penjual yang tidak berlesen dan tidak diberi kuasa di bawah Akta Racun 1952. Hasil serbuan ini, sebanyak 12 fail siasatan telah dibuka untuk tindakan lanjut.
Aktiviti kesedaran kepada orang awam juga merupakan sebahagian daripada Operasi Pangea XVI. Sebanyak 245 kempen kesedaran telah dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, KKM dan Cawangan Penguatkuasaan Farmasi di seluruh negara sepanjang tempoh Operasi. Aktiviti kesedaran dijalankan secara komprehensif di seluruh negara mencakupi pelaksanaan aktiviti secara konvensional seperti ceramah, dialog dan pameran di samping penggunaan komponen media baharu seperti media sosial, portal rasmi dan sistem pesanan ringkas. Penyiaran mesej dalam bentuk poster infografik, video kesedaran, jingle dan rerayap turut dilaksanakan bagi memenuhi keperluan dan menarik minat segenap lapiran masyarakat.
KKM turut menjalankan pemantauan di laman sesawang dan media sosial serta aktiviti penguatkuasaan dalam menangani isu pengiklanan dan penjualan produk farmaseutikal dalam talian bukan hanya dalam tempoh Operasi Pangea. Malah aktiviti penguatkuasaan dan kesedaran ini dijalankan secara berterusan sepanjang tahun bagi memastikan semua produk farmaseutikal, tradisional dan kosmetik dalam pasaran Malaysia adalah selamat digunakan oleh orang awam.
KKM akan sentiasa komited dalam memastikan pengendalian rangkaian bekalan, penggunaan, pemasaran dan penyiaran iklan-iklan produk farmaseutikal dikendalikan dengan mematuhi peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan. Pengguna juga diingatkan agar sentiasa memastikan produk farmaseutikal yang dibeli adalah berdaftar dengan KKM.
NORHALIZA BINTI A HALIM
PENGARAH KANAN PERKHIDMATAN FARMASI
27 DISEMBER 2023
SUMBER : Kementerian Kesihatan Malaysia
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Farahdila Wati binti Mohd Khamde Khuzaini
Pegawai Perhubungan Awam
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
Tel : +603-8883 3470
Faks : +603-8888 6187
--BERNAMA