Disember 04, 2025 -Khamis

 
  SITUASI TERKINI COVID-19

Friday 29/12/2023



KUALA LUMPUR, 29 Dis (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa keadaan COVID-19 di negara adalah terus terkawal. Kebanyakan kes COVID-19 yang dilaporkan di Malaysia mengalami gejala ringan dan tidak memerlukan rawatan di hospital. 

Untuk Minggu Epid ME-51 (17 - 23 Disember 2023), kadar kemasukan pesakit yang menghidap COVID-19 ke dalam hospital adalah pada 0.5% dan kadar kematian 0.08% . Ini bermaksud kadar untuk kedua-dua parameter ini kekal pada tahap yang rendah.

Sehingga kini, tiada varian baharu yang dikesan di Malaysia. Varian yang sedang menular di Malaysia adalah masih varian Omicron, dengan subvariannya XBB.1.16, XBB.1.5, EG.5 dan termasuk JN.1. Subvarian Omicron yang sedang menular diketahui tidak menyebabkan kes yang lebih teruk.  

Virus COVID-19 akan terus berada bersama kita (living with the virus) sama seperti virus salur pernafasan yang lain seperti influenza. Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mengamalkan keseimbangan dari segi kesihatan dan kehidupan (life and livelihood) semasa musim peningkatan kes-kes jangkitan berjangkit. 

Kumpulan rentan seperti warga emas, individu dengan penyakit kronik, individu dengan imuniti rendah adalah amat digalakkan untuk memakai pelitup muka semasa berada di tempat sesak atau menggunakan pengangkutan awam. 

Orang ramai dinasihatkan agar meneruskan tanggungjawab penjagaan kendiri (pemakaian pelitup muka di situasi yang memerlukan, melakukan TRIIS dan kemaskini status pada MySejahtera), melindungi golongan rentan dan mendapatkan maklumat yang betul dan sahih berkaitan kes jangkitan saluran pernafasan termasuk COVID-19 di sumber yang boleh dipercayai.

Kementerian Kesihatan Malaysia akan terus memantau situasi COVID-19 dan varian berkaitan dari semasa ke semasa. Dengan komitmen daripada semua lapisan masyarakat, situasi COVID-19 di negara ini akan kekal terkawal. 

DATUK SERI DR. HAJI DZULKEFLY AHMAD
MENTERI KESIHATAN
29 DISEMBER 2023

SUMBER: Kementerian Kesihatan Malaysia


UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 
Seksyen Media Massa

Unit Komunikasi Korporat
Nama: Nurhanis Asyeera Binti Rahman
Tel: nurhanisasyeera@moh.gov.my

--BERNAMA 

 
 
 

Copyright @ 2025 MREM . All rights reserved.