ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 29, 2024 -Isnin

 
  HASIL SIASATAN ADUAN TULAR KAIN DI DALAM MARTABAK

Wednesday 27/03/2024



KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memandang serius aduan yang tular di media sosial mengenai pencemaran makanan di bazar Ramadan dengan penemuan kain di dalam martabak yang dibeli di Bazar Ramadan Desa Pandan, Kuala Lumpur baru-baru ini. 
 
KKM melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) telah menjalankan siasatan lanjut dan mendapati kecuaian semasa pengendalian makanan telah menyebabkan kehadiran cebisan kain pengelap dalam martabak tersebut. Beberapa kesalahan lain yang dikenalpasti telah dilakukan oleh pemilik gerai termasuk tidak membuat pengasingan yang jelas untuk bahan mentah dan makanan yang telah dimasak, menggunakan kain pengelap yang tidak bersih dan pengendali makanan tidak memakai pakaian pelindung diri dengan sempurna. Justeru, tindakan penguatkuasaan telah diambil terhadap gerai yang menjual makanan tersebut dengan mengeluarkan satu (1) notis kompaun di bawah Peraturan 32(1)(b) Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009.
 
KKM sentiasa menjalankan pemantauan dan pemeriksaan di semua gerai bazar Ramadan seluruh negara. Sehingga kini, sebanyak 10,570 buah premis bazar Ramadan telah diperiksa. Peniaga makanan yang didapati tidak mematuhi kehendak di bawah Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya boleh dikenakan tindakan denda tidak melebihi RM 100,000.00 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali. 
 
KKM ingin mengingatkan kepada semua peniaga premis makanan termasuk di bazar Ramadan untuk mempertingkatkan tahap kebersihan dan keselamatan makanan di premis masing-masing bagi mengelakkan sebarang pencemaran silang dan kehadiran bendasing dalam makanan yang dijual. Cuaca panas yang sedang melanda negara ketika ini juga boleh menyebabkan pembiakan bakteria yang lebih pantas dan menyebabkan makanan cepat basi dari kebiasaan. Orang ramai dinasihatkan untuk mengutamakan keselamatan makanan sepanjang Ramadan ini dalam memilih apa sahaja juadah berbuka, sebelum membeli “Perhati dan Pilih” serta amalkan Lihat Hidu Rasa kerana ia langkah paling mudah untuk mengelakkan keracunan makanan.
 
KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam keselamatan pengguna. Melalui pelaksanaan pemantauan dan penguatkuasaan yang berterusan, KKM ingin menegaskan bahawa tahap keselamatan dan kualiti makanan sepanjang Ramadan adalah terkawal. Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melayari laman sesawang http://moh.spab.gov.my serta facebook Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) www.facebook.com/bkkmhq.
 
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
27 MAC 2024

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Farahdila Wati binti Mohd Khamde Khuzaini
Tel: +603-8883 3470
Faks: +603-8888 6187 

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.