ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 29, 2024 -Isnin

 
  AKTA SYARIKAT (PINDAAN) 2024 WAJIBKAN PELAPORAN PEMUNYAAN BENEFISIAL BAKAL DIKUATKUASAKAN PADA 1 APRIL 2024

Wednesday 27/03/2024



KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Pada hari ini telah dilancarkan pusat panggilan SSM yang berwajah baharu dan lebih mesra pelanggan dikenali sebagai SSM Customer Care (SSMCC). 

Penjenamaan semula SSMCC ini selari dengan teras strategik SSM iaitu mengoptimumkan penambahbaikan proses, memupuk budaya kerja cemerlang dan menyediakan persekitaran perniagaan yang dipercayai. Selain itu, ia juga sejajar dengan inovasi perkhidmatan dan produk SSM yang berkembang mengikut kehendak pelanggan.
 
Objektif utama penubuhan SSMCC adalah untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan pelanggan SSM dan memastikan aduan dan pertanyaan pelanggan dikendalikan secara bersepadu, tepat, cepat dan berintegriti.
 
Antara penambahbaikan yang dilaksanakan melalui SSMCC adalah menggantikan borang pertanyaan dan aduan pelanggan sedia ada kepada platform terbaharu yang dikenali sebagai Webform, memperkenalkan SSM Chatbot yang boleh diakses oleh pelanggan 24 jam serta platform Live Chat SSM.
 
Bagi memudahkan pelanggan mengakses maklumat komprehensif, SSM juga memperkenalkan Knowledge Hub iaitu hub yang menyimpan maklumat terkini berkaitan perundangan, produk dan perkhidmatan SSM. Knowledge Hub boleh diakses di laman portal rasmi SSM.
 
Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi SSMCC di bahagian Aduan & Maklumbalas, SSM Chatbot, Live Chat SSM yang boleh diakses melalui portal rasmi SSM, talian telefon 03-7721 4000 atau emel ke enquiry@ssm.com.my.
 
Pada masa yang sama, selain menambah baik perkhidmatan kepada pelanggan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui SSM juga telah menggerakkan strategi dan pendekatan yang menyokong agenda reformasi dalam memperkukuh kerangka tatakelola Kerajaan dan tadbir urus negara secara keseluruhannya termasuk ekosistem sektor korporat.
 
Pada tahun 2023, usaha ini telah dilaksanakan dengan menambah baik peruntukan-peruntukan di bawah Akta Syarikat 2016. Rang Undang-Undang (RUU) Syarikat (Pindaan) 2023 telah diluluskan di peringkat Dewan Rakyat pada 28 November 2023 dan diluluskan di peringkat Dewan Negara pada 13 Disember 2023. RUU ini telah mendapat Perkenan Diraja pada 24 Januari 2024 dan diwartakan sebagai Akta Syarikat (Pindaan) 2024 pada 2 Februari 2024. Akta Syarikat (Pindaan) 2024 akan dikuatkuasa pada 1 April 2024 kecuali Seksyen 4, 14, 26 dan 28 yang akan dikuatkuasakan pada tarikh yang akan diumumkan kelak. 

Akta Syarikat (Pindaan) 2024 mempunyai dua objektif utama iaitu:
 
i) Memperkukuh kerangka rehabilitasi korporat dengan memudahcara syarikat yang menghadapi masalah kewangan dan menyokong pemulihan ekonomi negara agar terus berdaya saing terutama sekali dalam era pasca pandemik COVID-19;
ii) Mempertingkatkan  elemen ketelusan dalam ekosistem sektor korporat di Malaysia melalui penambahbaikan pelaporan pemunyaan benefisial.
 
Akta Syarikat (Pindaan) 2024 mengandungi 31 fasal yang terdiri daripada empat kluster polisi seperti berikut:
 
i)   Memperluaskan pemakaian mekanisme penyelamat korporat iaitu perkiraan sukarela korporat (CVA) dan pengurusan kehakiman (JM);
ii)  Memperkukuh kerangka rehabilitasi korporat melalui penambahbaikan peruntukan yang berkaitan skim perkiraan atau kompromi (SPK) dan penambahbaikan peruntukan-peruntukan berhubung CVA/JM;
iii) Menambahbaik amalan dan tadbir urus korporat; dan
iv) Memperkukuh kerangka pelaporan pemunyaan benefisial. 

Penambahbaikan kerangka pelaporan pemunyaan benefisial dilaksanakan mengambil kira perkembangan terkini di peringkat antarabangsa dalam memerangi aktiviti-aktiviti pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan, rasuah dan pengelakan cukai. Peruntukan perundangan baharu mewajibkan setiap syarikat mengenal pasti pemunya benefisial iaitu individu yang mengawal syarikat tersebut. Apa yang dimaksudkan dengan kawalan adalah pemilikan saham pada kadar 20 peratus ke atas atau berkeupayaan mengawal keputusan-keputusan yang dibuat oleh lembaga pengarah syarikat tersebut. Melalui peruntukan baharu yang diperkenalkan, syarikat berkewajipan melaporkan individu yang memenuhi kriteria pemunya benefisial ini kepada SSM.

Kedudukan Malaysia dalam konteks usaha menangani aktiviti-aktiviti tersebut sedang dan akan dinilai bermula tahun ini oleh pelbagai badan antarabangsa seperti:

(i)  Financial Action Task Force (FATF) yang merupakan badan antarabangsa bebas yang membangunkan piawaian antarabangsa untuk memerangi pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan dan percambahan untuk melindungi sistem kewangan global; dan
 
(ii)  Organization for Economic Co-operation and Development (OECD) melalui exchange of information on request menjalankan penarafan berhubung isu-isu penzahiran bagi percukaian ke atas negara-negara yang berdagang dengan negara-negara OECD.
 
Adalah diharapkan komuniti korporat di negara ini bersiap sedia untuk mematuhi semua peruntukan Akta Syarikat (Pindaan) 2024. Pengamal korporat yang ingin mengetahui lebih lanjut dan memahami perubahan dalam Akta Syarikat (Pindaan) 2024, digalakkan mengikuti kursus yang ditawarkan oleh Bahagian Akademi Latihan & Pengurusan Pengetahuan (COMTRAC) SSM dengan melayari portal rasmi SSM www.ssm.com.my.
 
YB DATUK ARMIZAN MOHD ALI
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup 

MENGENAI SSM
 
Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) merupakan badan berkanun yang terbentu​k hasil daripada penggabungan Pejabat Pendaftar Syarikat (ROC) dengan Pejabat Pendaftar Perniagaan (ROB) di Malaysia yang mengawal selia syarikat dan perniagaan. SSM mula beroperasi pada 16 April 2002.
 
Aktiviti utama SSM adalah mendaftarkan perniagaan dan perkongsian liabiliti terhad (PLT) serta memperbadankan syarikat, di samping membekalkan maklumat berkaitan syarikat, perniagaan dan PLT kepada orang awam. Sebagai peneraju utama ke arah peningkatan tahap tadbir urus korporat, SSM melaksanakan fungsinya mengawalselia pematuhan perundangan korporat dan pendaftaran perniagaan melalui aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan yang komprehensif bagi memastikan perkembangan positif sektor korporat dan perniagaan untuk negara.
 
SSM bertanggungjawab ke atas pentadbiran dan penguatkuasaan undang-undang berikut:​
 
·  Akta Suruhanjaya Syarikat Malaysia 2001 (Akta 614);
·  Akta Syarikat 2016 (Akta 777);
·  Akta Skim Kepentingan 2016 (Akta 778);
·  Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 (Akta 197);
·  Akta Perkongsian Liabiliti ​Terhad 2012 (Akta 743);
·  Akta Syarikat Amanah 1949 (Akta 100); dan
·  Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971 (Akta 28)​​.
 
SUMBER: Suruhanjaya Syarikat Malaysia 

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 
Nama: T.K. Letchumy Tamboo
Ketua Unit, Media dan Editorial,
Bahagian Strategi dan Komunikasi Korporat
Tel: 03-2299 4400
Faks: 03-2299 5554

--BERNAMA 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.