|
|
|
|
|
|
PENCAPAIAN TINDAKAN PENGUATKUASAAN DAN PERUNDANGAN DI BAWAH UNDANG-UNDANG KESIHATAN AWAM BAGI BULAN MAC 2024
Monday 22/04/2024
KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia sentiasa berusaha meningkatkan mutu perkhidmatan untuk kesejahteraan penduduk Malaysia dan ini termasuklah mengambil tindakan penguatkuasaan undang-undang kesihatan demi kepentingan kesihatan awam.
Bagi bulan Mac 2024, berikut dimaklumkan hasil dan tindakan penguatkuasaan Undang-undang Kesihatan Awam.
1. Melalui tindakan penguatkuasaan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 bagi tujuan pencegahan dan kawalan penyakit Demam Denggi, sejumlah 3,816 tawaran kompaun bernilai RM1,908,000.00 telah dikeluarkan dengan purata RM500.00 setiap kompaun. Sejumlah 642 kes telah didaftar untuk tindakan mahkamah dan dalam masa yang sama sebanyak 95 kes telah disabitkan kesalahan di mahkamah dengan jumlah denda RM180,600.00.
2. Melalui penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004, daripada 18,178 premis yang dilawati, sejumlah 8,926 notis kesalahan dikeluarkan. Sebanyak 5,549 kompaun telah ditawarkan dengan nilai tawaran berjumlah RM1,384,600.00.
3. Melalui tindakan penguatkuasaan Akta Makanan 1983, sebanyak 33,473 premis makanan telah diperiksa. Jumlah premis makanan yang diberi perintah penutupan sementara di bawah Sek. 11, Akta Makanan 1983 adalah 124 premis iaitu 0.37% daripada keseluruhan premis makanan yang diperiksa. Tindakan penutupan sementara premis makanan yang dikuatkuasakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia adalah sebagai suatu langkah menjamin kebersihan premis serta makanan yang dihidangkan.
Adalah dimaklumkan, tindakan penguatkuasaan merupakan pilihan terakhir yang diambil oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Orang ramai serta semua pihak adalah diminta untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing agar keberkesanan perlaksanaan aktiviti kesihatan mencapai tahap optimum.
DATUK DR. MUHAMMAD RADZI BIN ABU HASSAN KETUA PENGARAH KESIHATAN 20 APRIL 2024
SUMBER: Kementerian Kesihatan Malaysia
UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: Nama: Farahdila Wati binti Mohd Khamde Khuzaini Pegawai Perhubungan Awam Unit Komunikasi Korporat Tel : +603-8883 3470 Faks : +603-8888 6187
--BERNAMA |
|
|
|
|
|