ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Mei 05, 2024 -Ahad

 
  PCG MEMBERI TUMPUAN DALAM MEMAJUKAN INISIATIF PERTUMBUHAN DAN MEMPERKUKUHKAN PRESTASI OPERASI

Wednesday 24/04/2024



 Table

(Dari Kiri ke Kanan) Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Mazuin Ismail; Pengerusi PCG, Datuk Ir. (Dr.) Abdul Rahim Hashim; Ketua Pegawai Kewangan, Mohd Azli Ishak; bersama dengan Pengarah Bebas Kanan/Pengerusi Jawatankuasa Audit, Yeoh Siew Ming pada AGM ke-26 PCG.



• Berjaya meraih pencapaian syarikat melalui perolehan fasa sedia untuk memulakan operasi (Ready for Start-Up) untuk dua loji baharu di Malaysia
• Kemajuan dalam agenda Ekonomi Sirkular
• 2024 akan memberikan tumpuan berterusan untuk mencapai kecekapan operasi yang optimum
 
 
KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-26 pada hari ini untuk berkongsi prestasi Syarikat dengan pemegang sahamnya bagi Tahun Kewangan Berakhir 31 Disember 2023. AGM tersebut telah dipengerusikan oleh Pengerusi PCG, Datuk Ir. (Dr.) Abdul Rahim Hashim, bersama ahli Lembaga Pengarah, serta Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Mazuin Ismail dan juga Ketua Pegawai Kewangan, Mohd Azli Ishak yang turut menghadiri sesi tersebut. Melalui AGM, Mazuin berkongsi berkenaan prestasi, rancangan pertumbuhan, agenda kelestarian, dan perancangan masa hadapan Syarikat untuk 2024.
 
Memberikan nilai kepada pihak berkepentingan
 
Pada tahun 2023, pertumbuhan ekonomi sedunia telah menjadi perlahan yang dipengaruhi oleh ketegangan geopolitik dan pemulihan pasca-pandemik China yang kurang memberangsangkan. Kos tenaga yang tinggi dan lebihan bekalan produk memberi tekanan lagi kepada kemerosotan industri, dengan permintaan lemah daripada sektor kimia. Selain itu, perniagaan komoditi Syarikat turut menghadapi cabaran dalaman dan luaran yang menjejaskan penggunaan loji, mengakibatkan pengeluaran yang lebih rendah. 
 
“Di sebalik halangan-halangan ini, dengan pelaksanaan inisiatif strategik Syarikat secara berterusan, kami mencatatkan jumlah pengeluaran sebanyak 10.4 juta tan, termasuk komoditi dan bahan kimia khusus, jumlah jualan sebanyak 9.6 juta tan di samping mengekalkan prestasinya berkenaan keselamatan. Kami mengakhiri 2023 dengan hasil RM28.7 bilion dan keuntungan selepas cukai RM1.8 bilion,” kata Mazuin. 
 
Syarikat telah membayar jumlah dividen sebanyak 13 sen sesaham yang membawa kepada jumlah pembayaran sebanyak RM1 bilion, mewakili 61% nisbah pembayaran dividen.
 
Menjana pertumbuhan
 
Prestasi pertumbuhan PCG kekal stabil dalam beberapa tahun ini yang disokong oleh kedudukan kewangannya yang kukuh. Pada tahun 2023, Syarikat juga mencapai fasa sedia untuk memulakan operasi (Ready for Start-Up) untuk dua loji; sebuah loji etoksilat khusus dan poliol polieter khusus di Kertih, Terengganu, dan loji lateks butadiena nitril (NBL) di Pengerang, Johor. Loji di Kertih akan membolehkan PCG memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk produk kusyen (foam) dalam sektor automotif, produk pembersihan dan penjagaan diri manakala pengeluaran NBL membolehkan PCG mengambil peluang dalam pasaran sarung tangan lateks global, lantaran dengan status Malaysia sebagai pengeluar sarung tangan terbesar di dunia.
 
Terdapat juga beberapa perkembangan baharu di bawah platform bahan kimia khusus PCG, melalui anak syarikatnya, Kumpulan Perstorp (Perstorp) dan Kumpulan BRB (BRB). Perstorp telah menyelesaikan pembinaan loji Sayakhanya di India pada 2023 untuk pengeluaran Pentaerythritol (Penta) dan VoxtarTM M40 yang disahkan oleh International Sustainability and Carbon Certification (ISCC) PLUS untuk memperkukuhkan kedudukan pasarannya di rantau Asia Pasifik. Sementara itu, BRB mengukuhkan keupayaannya dengan memasuki industri makanan melalui pensijilan utamanya untuk keselamatan makanan di Malaysia. Di samping itu, BRB telah mengembangkan jejak globalnya serta memulakan operasi penuh loji bahan tambahan minyak pelincir dan bahan kimia (LAC) baharunya di Belanda, sambil mengukuhkan kehadiran pasarannya di UK dan Korea Selatan.
 
Komited untuk memajukan agenda kelestarian
 
Pada tahun 2023, PCG telah mengorak langkah yang penting dalam agenda Ekonomi Sirkular untuk menyumbang kepada ekosistem plastik yang lestari melalui pembinaan loji kitar semula kimia termaju di Pengerang, Johor. Plastik akhir hayat untuk loji ini akan dikumpul daripada seluruh Malaysia, dengan matlamat untuk mengurangkan pembuangan plastik ke tapak pelupusan sampah. Loji kitar semula ini akan memberi kegunaan baru kepada plastik akhir hayat, dengan menghasilkan minyak pirolisis yang kemudiannya boleh digunakan sebagai bahan mentah dalam pengeluaran plastik sirkular.
 
Industri kimia memainkan peranan penting dalam membangunkan teknologi dan penyelesaian lestari yang menyokong peralihan kepada ekonomi rendah karbon. Di samping itu, PCG, melalui Perstorp iaitu anak syarikat bahan kimia khususnya, terus mengembangkan portfolio produk lestarinya dengan pelancaran lima produk baharu yang disahkan oleh ISCC PLUS seperti 2-EH Pro 100 dan Valeric Acid Pro 100, yang mempunyai jejak karbon rendah dan diperbuat daripada 100% kandungan boleh diperbaharui.
 
Mengulas mengenai perjalanan kelestarian PCG, Mazuin berkata, “Kami berbesar hati kerana telah mencapai kemajuan yang baik dalam cita-cita kelestarian kami. Walau bagaimanapun, masih banyak yang perlu dilakukan di samping usaha untuk menyepadukan kelestarian ke dalam lebih banyak aspek operasi kami. Kami kekal teguh dalam komitmen kami untuk mengurangkan jejak alam sekitar kami dan terus mengejar aspirasi pelepasan sifar bersih kami, selaras dengan Pelan Hala Tuju Pelepasan Sifar Bersih Karbon (NZCE) 2050 kami.”
 
“2024 akan terus mencabar tetapi kami komited untuk mengukuhkan prestasi operasi kami dengan strategi kebolehpercayaan loji yang merangkumi keutamaan risiko aset dan pelaksanaan penyelenggaraan proaktif untuk mengurangkan insiden yang tidak dirancang. Kami juga akan terus memupuk hubungan yang lebih kukuh dengan pelanggan untuk memastikan kami menyampaikan produk dan penyelesaian selaras dengan permintaan pasaran yang dinamik. Di samping itu, kami akan memajukan usaha kelestarian dan menerokai peluang pertumbuhan baharu.
 
Melalui usaha-usaha ini, PCG akan berada di kedudukan yang baik dan lebih lincah untuk mengambil peluang selaras dengan kitaran kenaikan ekonomi yang dijangkakan apabila permintaan menjadi selari dengan bekalan,” akhiri Mazuin.
 
Versi digital Laporan PCG 2023; Laporan Bersepadu, Laporan Kelestarian dan Laporan Kewangan boleh didapati di laman web PCG di https://www.petronas.com/pcg/media/reports dan laman web Bursa Malaysia di www.bursamalaysia.com di bawah pengumuman Syarikat.
 
 
Mengenai PETRONAS Chemicals Group Berhad
 
PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) merupakan pengeluar bahan kimia bersepadu terulung di Malaysia dan antara yang terbesar di Asia Tenggara. Ia mengendalikan beberapa tapak pengeluaran bertaraf dunia di Malaysia, Asia Pasifik, Eropah dan Amerika Utara. Dengan jumlah kapasiti pengeluaran gabungan sebanyak 15.4 juta tan metrik setahun (mtpa), aktiviti perniagaan utama PCG melibatkan pengeluaran, pemasaran dan penjualan beraneka produk kimia, termasuk olefin, polimer, baja, metanol serta bahan kimia dan produk derivatif asas yang lain.
 
Disenaraikan di Bursa Malaysia dengan lebih daripada tiga dekad pengalaman dalam industri bahan kimia, PCG telah ditubuhkan sebagai sebahagian daripada Kumpulan PETRONAS untuk memaksimumkan nilai daripada sumber gas asli Malaysia.  
 
PCG komited untuk memastikan amalan perniagaannya selaras dengan piawaian yang diiktiraf di peringkat global bagi amalan Ekonomi, Alam Sekitar, Sosial & Tadbir Urus (EESG). PCG kini disenaraikan dalam Indeks FTSE4 Good Bursa Malaysia (F4GBM) dan Indeks Dunia Kelestarian™ Dow Jones. 
 
Maklumat lanjut berkenaan PCG boleh didapati di https://www.petronas.com/pcg/.
 

SUMBER : PETRONAS CHEMICALS GROUP BERHAD (PCG)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: 
Nama : Yogeswari Thangavelu
Perhubungan Media & Komunikasi, Jabatan Komunikasi Strategik & Pentadbiran 
PETRONAS CHEMICALS GROUP BERHAD (PCG)
Tel : (6) 017 2000919
E-mel : yogeswari.thangavel@petronas.com

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.