KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Mengikut
al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, sebuah ensiklopedia terbesar dalam bahasa Arab yang dikeluarkan oleh Kementerian Waqaf Kuwait yang mengumpulkan pandangan-pandangan para ulama terkenal dunia selaku lajnah fatwa mentakrifan
Kafir Harbi atau
al-Kafir al-Muharib atau
Ahl al-Harb sebagai “orang-orang bukan Islam yang tidak berada dalam perlindungan dan perjanjian serta tidak menikmati keselamatan yang diberikan oleh orang Islam.” Dalam erti kata lain, ia merujuk kepada kepada golongan kafir yang memerangi Islam dan melakukan kejahatan ke atas orang-orang Islam.
Maka wajib memerangi
Kafir Harbi apabila mereka memerangi umat Islam seperti mana firman Allah SWT dalam Surah Muhammad, ayat 4:
Dengan yang demikian, apabila kamu berjuang menentang orang-orang kafir (dalam peperangan jihad) maka pancunglah lehernya, sehingga apabila kamu dapat membunuh mereka dengan banyaknya (serta mengalahkannya) maka tawanlah (mana-mana yang hidup) dan ikatlah mereka dengan kukuhnya. Setelah selesai pertempuran itu maka (terserahlah kepada kamu) sama ada hendak memberi kebebasan (kepada orang-orang tawanan itu dengan tiada sebarang penebusnya) atau membebaskan mereka dengan mengambil penebusnya. (Bertindaklah demikian terhadap golongan kafir yang menceroboh) sehinggalah berakhir peperangan jihad itu (dan lenyaplah sebab-sebab yang memimbulkannya). Demikianlah (diperintahkan kamu melakukannya).
Walau bagaimanapun tidak semua orang bukan Islam dikategori sebagai
Kafir Harbi kerana, para ulama telah memberikan beberapa kategori selain daripada
Kafir Harbi seperti
Kafir Musta’min,
Kafir Mua’hid dan
Kafir Zimmi dengan setiapnya mempunyai hukum hakam yang tersendiri apabila berurusan dengan mereka.
Secara umumnya, Ibn Abbas RA pernah menyebut seperti mana yang dirakam dalam Sahih Muslim bahawa Rasulullah SAW membahagikan orang-orang kafir itu kepada dua keadaan iaitu Pertama: Orang bukan Islam yang memerangi umat Islam. Maka umat Islam wajib memerangi mereka kembali. Kedua: orang bukan Islam yang tidak memerangi umat Islam. Justeru, umat Islam tidak perlu memerangi mereka.
Dalam kategori tidak memerangi umat Islam ini, maka kategori mereka mungkin salah satu antara
Kafir Zimmi atau
Kafir Must’amin atau
Kafir Mua’hid dan ketiga-tiga jenis kafir ini dilarang keras oleh Baginda SAW untuk diperangi seperti mana disebut dalam beberapa hadis, antaranya:
مَنْ قَتَلَ قَتِيلًا مِنْ أَهْلِ الذِّمَّةِ لَمْ يَرَحْ رَائِحَةَ الْجَنَّةِ ، وَإِنَّ رِيحَهَا لَيُوجَدُ مِنْ مَسِيرَةِ أَرْبَعِينَ عَامًا
“Sesiapa yang membunuh
Kafir Zimmi maka dia tidak akan mencium bau syurga, yang baunya boleh dihidu sejauh 40 tahun perjalanan” (Hadis Imam Ahmad)
[مَنْ قَتَلَ نَفْسًا مُعَاهَدَة بِغَيْرِ حِلِّهَا حَرَّمَ اللَّه عَلَيْهِ الْجَنَّة [أبو داود والنسائي
“Sesiapa yang membunuh
Kafir Mua’hid tanpa sebab, Allah akan haramkannya Syurga” (Hadith Abu Dawud & al-Nasa’ie)
Justeru itu, dalam konteks negara Malaysia yang majoritinya adalah umat Islam dan sebagai sebuah negara Islam, umat Islam dapat melaksanakan amal ibadat secara aman, maka hukum berurusan dengan orang bukan Islam yang mendiami negara ini secara aman dan tidak memerangi umat Islam tidak boleh disamakan dengan
Kafir Harbi. Bahkan, istilah
Kafir Harbi tidak lagi wujud dalam konteks di negara Malaysia. Maka nyawa, darah dan harta benda orang bukan Islam di Malaysia adalah haram bagi umat Islam untuk menyakiti atau merampasnya berdasarkan dalil-dalil di atas dan banyak lagi dalil yang lain.
Sekian, terima kasih
PROF. MADYA DATO’ DR. MOHAMED AZAM MOHAMED ADILKetua Pengarah
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
12 Ogos 2024 bersamaan 7 Safar 1446H
Dikeluarkan oleh :
Unit Perhubungan Korporat IKIM
SUMBER: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:
Nama: SHARUZI BIN ISMAIL
Tel : 603-5886 1506(D/L) / +6010-402 6200(HP)
E-mel : jie@ikim.gov.my
--BERNAMA