ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Disember 01, 2024 -Ahad

 
  MFA BAWA SYARIKAT FRANCAIS TEMPATAN KE MISI KHAS PERNIAGAAN FRANCAIS DI LONDON

Tuesday 13/08/2024



Table

Pengerusi Persatuan Francais Malaysia (MFA), Datuk Dr. Radzali Hassan


KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Persatuan Francais Malaysia (MFA) akan membawa beberapa jenama francais tempatan ke Misi Khas Perniagaan Francais yang akan diadakan di Hotel InterContinental London Park Lane, London pada 15 Ogos 2024. Antara jenama francais yang menyertai misi ini adalah Marrybrown, CIC Where Leaders Are Born, Global Art, UCMAS, Little Caliphs dan Q-Dees.

Misi ini adalah kali ke-3 perlaksanaannya pada tahun ini setelah Filipina dan Indonesia pada Jun lalu. Program ini dijangka akan dirasmikan oleh Ketua Setiausaha, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Dato’ Sri Suriani binti Dato’ Ahmad.

Menurut Pengerusi MFA, Datuk Dr. Radzali Hassan dalam kenyataannya berkata, MFA sangat komited dalam membantu usahawan francais tempatan mengembangkan perniagaan mereka di dalam dan luar negara. Pelbagai inisiatif yang akan dilaksanakan bersama pihak KUSKOP dan Pernas dalam memperkasakan industri francais Malaysia. Ianya termasuk perlaksanaan Enhanced Franchise Development Program (EFDP) ini.

“MFA menyambut baik seruan YB Menteri KUSKOP, Datuk Ewon Benedick untuk terus berganding bahu bersama KUSKOP dan Pernas disamping membina sinergi padu dalam memperkasakan industri francais ini. Semestinya MFA sangat konsisten dalam misi ini sejak penubuhannya pada awal 90-an dahulu,” tambah beliau.

Selain program Misi Khas Perniagaan Francais ini, MFA juga giat melaksanakan program Misi Perdagangan Francais yang juga merupakan aktiviti utama di bawah program EFDP.

“Sehingga Disember 2023, program di bawah EFDP ini telah berjaya menjana lebih RM1.73 billion. MFA optimis jumlah ini akan meningkat saban tahun selari dengan pertambahan program yang akan dilaksanakan dari masa ke semasa,” menurutnya.

Menurut wakil daripada Marrybrown, mereka mensasarkan pelaburan bernilai sekurang-kurangnya RM30 juta bagi misi kali ini, dan menawarkan hak francaisi induk selama 15 tahun dengan membuka minima 20 cawangan dalam masa 5 tahun. Program Misi Khas ini merupakan satu program yang lebih fokus dalam mengenal pasti sasaran francaisor untuk mengembangkan perniagaan francais mereka ke sesebuah negara bagi memastikan objektif francaisor terlaksana.

Manakala, wakil daripada Global Art pula berkata, mereka melihat misi ini sebagai peluang terbaik untuk bertemu dan berhubung dengan rakan kongsi antarabangsa, di samping meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap jenama mereka di peringkat global. Selain itu, misi ini juga menyediakan platform untuk mereka mempamerkan pendekatan inovatif dan penawaran artistik Global Art serta menambah pengetahuan tentang trend dan inovasi dalam industri.

Mengulas lanjut, Datuk Dr. Radzali Hassan berkata para usahawan francais dan MFA sangat menghargai pertimbangan pihak kerajaan ke atas bajet yang diperuntukkan buat industri ini dan berharap agar industri ini akan terus diberi tumpuan pada pembentangan bajet 2025 memandangkan ianya juga merupakan salah satu sektor yang menyumbang kepada ekonomi negara.

Misi ini turut disertai oleh beberapa syarikat di bawah Perbadanan Nasional Berhad (Pernas). MFA akan melaksanakan beberapa misi perdagangan dan misi khas perniagaan francais sehingga hujung tahun ini ke Singapura, Dubai, Vietnam dan Arab Saudi.

Latar Belakang Program Specialized Business Mission (SBM) – Business Matching

· Program kerjasama Persatuan Francais Malaysia (MFA) dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

· SBM adalah aktiviti di bawah Enhanced Francise Development Program (EFDP)

· SBM bertujuan mempromosikan jenama francais tempatan Malaysia dan seterusnya menembusi pasaran perniagaan di Filipina menerusi pematerai padanan perniagaan dan mesyuarat perniagaan antara syarikat-syarikat Malaysia bersama pelabur antarabangsa

SUMBER: Persatuan Francais Malaysia (MFA) ​

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:
Nama: Nurul Ain

Bahagian Komunikasi Korporat
Tel: 603-6241 4141  
Faks: 603-6241 1551  
E-mel: ain.mohamad@mfa.org.my

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.