|
|
|
|
|
|
PERSIDANGAN ARCEO 2024 DIADAKAN DI INDONESIA: MENCAPAI KELESTARIAN MELALUI INOVASI DIGITAL
Monday 09/09/2024
AsiaNet 0200358
Bandung, Indonesia, 9 Sept., 2024/Antara-AsiaNet
Persidangan Ketua Pegawai Eksekutif Kereta Api ASEAN (Persidangan ARCEO) ke-44 telah diadakan dengan jayanya di Bandung, Indonesia, dari 2-5 September, 2024. Dengan bertemakan "Memacukan Kelestarian dengan Inovasi Digital," Persidangan ARCEO tahun ini memberi tumpuan kepada kelestarian dan pembangunan kereta api yang mesra alam yang disokong oleh transformasi digital di dalam aspek keselamatan dan perkhidmatan.
Mewakili Indonesia, PT Kereta Api Indonesia (Persero) (KAI) telah dilantik sebagai jawatankuasa penganjur untuk Persidangan ARCEO itu, yang dihadiri oleh tujuh lagi pengendali kereta api ASEAN termasuk Keretapi Tanah Melayu (Malaysia), Vietnam Railways (Vietnam), Kementerian Kerja Raya dan Pengangkutan (Kemboja), Lao National Railways (Laos), Philippine National Railways (Filipina), Myanma Railways (Myanmar) dan State Railway of Thailand (Thailand).
Dalam ucapan beliau, Menteri Pengangkutan bagi Republik Indonesia Budi Karya Sumadi menekankan bahawa Indonesia pada masa ini mengalami pertumbuhan yang ketara di dalam sektor kereta api dengan operasi kereta api berkelajuan tinggi yang pertama di rantau ASEAN, Whoosh.
“Tambahan pula, dalam pengangkutan rel bandar, Indonesia sedang memperluaskan rangkaian MRT mereka dengan pembinaan yang berterusan, selain LRT Jabodebek, dan yang terbaharu ialah Transit Rel Berautonomi di Nusantara sebagai ibu kota seterusnya,” jelas beliau.
Pengenalan kereta api berkelajuan tinggi bertujuan untuk memajukan pengangkutan di Indonesia bagi meningkatkan ketersambungan dan ekonomi di antara Jakarta dan Bandung melalui transit massa moden yang mesra alam.
Dengan kereta api berkelajuan tinggi, penumpang tidak perlu risau tentang masa perjalanan yang panjang, memandangkan laluan Jakarta-Bandung hanya mengambil masa 28 minit, dengan kelajuan maksimum mencecah 350 km/j. Menampilkan ruang dalaman yang lebih luas dan moden, kereta api berkelajuan tinggi itu menawarkan tiga kelas dengan jumlah kapasiti sehingga 601 orang penumpang dan ruang khusus untuk orang kurang upaya.
Acara itu termasuk beberapa sesi kumpulan kerja untuk berkongsi amalan terbaik dan membincangkan mengenai pelbagai isu yang merangkumi pelaksanaan teknologi digital, pembangunan sumber manusia kereta api, pemasaran digital, transformasi perkhidmatan, sehingga kepada aplikasi kereta api berteknologi tinggi seperti kereta api berkelajuan tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif KAI Didiek Hartantyo menyatakan bahawa matlamat Persidangan ARCEO ke-44 itu adalah untuk mengukuhkan perhubungan dan kerjasama di kalangan pengendali kereta api dan pihak berkepentingan industri di ASEAN. Didiek menekankan bahawa bekerja secara bersama membolehkan ia memperoleh pencapaian yang lebih besar dan benar-benar merealisasikan semangat ASEAN yang saling menguntungkan, berkongsi kejayaan, dan daya ketahanan di dalam menghadapi pelbagai cabaran.
"Tahun ini, tema kami ialah ‘Memacukan Kelestarian dengan Inovasi Digital.’ Kami percaya bahawa tema ini berpunca daripada cabaran global yang kami hadapi, termasuk keperluan mendesak untuk menangani perubahan iklim, meningkatkan kecekapan operasi, dan memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk pilihan pengangkutan yang lebih mapan Selain itu, kemajuan di dalam teknologi dan perubahan di dalam permintaan pelanggan memainkan satu peranan penting dalam membentuk tumpuan kami," kata Didiek.
Delegasi berpeluang merasai pengalaman menaiki kereta api Whoosh dari Stesen Padalarang di Bandung, Jawa Barat, sehingga ke Stesen Halim di Jakarta, diikuti oleh aktiviti penanaman pokok. Selain Whoosh, delegasi berpeluang menaiki Kereta Api Panoramik, yang direka untuk menawarkan pemandangan panoramik sepanjang perjalanan dengan tingkap yang besar di kedua-dua belah sisi.
Tambahan pula, untuk menyokong kelestarian alam sekitar dan inovasi digital, KAI menggunakan kenderaan elektrik semasa Persidangan ARCEO, menyediakan cenderahati yang mesra alam, dan menggunakan sebuah aplikasi sebagai satu platform maklumat sepanjang acara itu.
"Kami percaya persidangan ini bukan sahaja akan mengukuhkan kerjasama di kalangan pengendali kereta api tetapi juga menggalakkan kelestarian dan inovasi digital dalam semangat perpaduan ASEAN. Bersama-sama, kita boleh membina sebuah masa depan di mana kereta api menghubungkan negara kita dan menyokong pertumbuhan dan kejayaan ASEAN," kata Didiek. Sumber: PT Kereta Api Indonesia (Persero)
--BERNAMA |
|
|
|
|
|