ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

November 30, 2024 -Sabtu

 
  NANOMALAYSIA MENGANJURKAN BENGKEL KETERLIBATAN PEMEGANG TARUH UNTUK PEMAIN INDUSTRI HIDROGEN

Tuesday 10/09/2024



KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- NanoMalaysia Berhad (NMB), sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), telah menganjurkan bengkel keterlibatan pemegang taruh pertama untuk Pakatan Industri Hidrogen Malaysia (MHIA) di Hotel InterContinental hari ini.
 
Bengkel sehari ini telah dihadiri oleh pemain utama dari pelbagai rantaian nilai dan ekosistem ekonomi hidrogen, yang terdiri daripada syarikat-syarikat di Malaysia yang telah mempunyai jejak serta perancangan yang serupa untuk membentuk masa depan ekonomi hidrogen negara. Antara mereka yang hadir adalah termasuk PETRONAS Technology Ventures Sdn Bhd (PTVSB), NGL Tech Sdn Bhd, UMW Industrial Power Services Sdn Bhd, Sarawak Metro Sdn Bhd, Gentari Hydrogen Sdn Bhd, Uzma Berhad, SEDC Energy Sdn Bhd serta wakil daripada NMB, Pusat Nanoteknologi Kebangsaan (NNC) dan MOSTI.
 
MOSTI sedang giat memacu agenda sains dan teknologi Malaysia termasuk pembangunan penyelesaian tenaga mampan. Pelan Hala Tuju Ekonomi dan Teknologi Hidrogen (HETR) yang dilancarkan pada Oktober tahun lalu adalah antaranya, merupakan jawapan MOSTI dalam menangani tiga cabaran tenaga — kebolehpercayaan, kemampuan, dan kelestarian — dalam perjalanan menuju ke arah neutral karbon. Untuk pembangunan teknologi dan keupayaan, HETR memberi tumpuan kepada pendekatan 'Bangunkan Sebahagian, Beli Sebahagian' dalam rancangan jangka pendek (2022-2030) dan bertujuan untuk menggalakkan teknologi hidrogen tempatan dan asing di Malaysia.
 
Pendekatan ini adalah penting untuk mencapai kos pengeluaran hidrogen yang rendah di pasaran dunia. Malaysia berhasrat untuk mencapai pendekatan ini dengan membangunkan ekosistem lengkap dengan penyelesaian inovatif yang merangkumi rantaian bekalan dan nilai dalam bahan mentah, bahan yang diproses, bahan termaju, pembuatan komponen, integrasi sistem dan produk, pengeluaran berskala besar, serta penembusan pasaran melalui usaha sama komersial dan pelaburan projek teknologi.
 
MHIA berhasrat untuk memacu landskap hidrogen Malaysia ke tahap seterusnya dengan menghubungkan pemain tempatan di seluruh rantaian nilai hidrogen dan mengubahnya daripada sektor berasaskan penyelidikan kepada industri yang didorong oleh inovasi. Pakatan ini bertujuan untuk mengatasi cabaran "Kurangnya Kesedaran Mengenai Bekalan dan Permintaan" dalam industri hidrogen, meningkatkan sinergi industri, dan memastikan syarikat-syarikat pengeluaran hidrogen tahu tentang usaha daripada syarikat-syarikat yang menggunakan hidrogen dan sebaliknya.
 
Ketua Pegawai Eksekutif NMB, Dr. Rezal Khairi Ahmad berkata, "Untuk mengatasi cabaran ini, MHIA, yang dicetuskan dan diketuai oleh NMB, telah berazam untuk memastikan syarikat-syarikat dalam ekosistem hidrogen bekerjasama dan melengkapi satu sama lain dari pengeluaran hingga ke aplikasi untuk pengurusan sumber domestik yang cekap. Bengkel ini, yang menghimpunkan pemegang taruh dari seluruh negara, merupakan satu langkah penting ke arah matlamat tersebut.”
 
Diberikan mandat oleh MOSTI untuk memimpin ekonomi hidrogen di Malaysia, NMB akan mengadakan bengkel serupa pada setiap suku tahun. Bengkel seterusnya akan memberi tumpuan kepada bidang tertentu seperti Polisi, Ekonomi, dan Teknologi. MOSTI dan NMB berhasrat untuk melancarkan MHIA sebelum akhir tahun ini.
 
Sumber: NanoMalaysia Berhad 

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:

E-mel: corporateaffairs@nanomalaysia.com.my 

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.