Timbalan Ketua Pengarah, (Kebudayaan dan Kesenian) Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Rosnan Nordin ketika memberi ucapan dalam Majlis Perasmian Kem Generasi Budaya 2024 di White Camp Resort, Balik PulauPULAU PINANG, 19 Sept (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Akademi Kenegaraan Malaysia akan menganjurkan enam (6) siri Kem Generasi Budaya mengikut zon seluruh Malaysia. Bagi pelaksanaan pertama Kem Generasi Budaya adalah dilaksanakan di Zon Utara pada 18-21 September 2024, manakala Zon Sarawak pada 23-26 September 2024, Zon Tengah pada 2-5 Oktober 2024, Zon Timur pada 8-11 Oktober 2024, Zon Selatan pada 15-18 Oktober 2024 dan Zon Sabah pada 28-31 Oktober 2024.
Majlis Perasmian Kem Generasi Muda dilaksanakan pada 18 September 2024 di White Camp Resort, Balik Pulau. Kem Generasi Budaya ini adalah merupakan program yang memberi fokus kepada penerapan jati diri dan pembentukan keperibadian yang mulia dalam kalangan belia. Program ini melibatkan peserta dalam kalangan belia berumur 18 hingga 30 tahun yang terdiri daripada pelbagai kaum termasuk etnik Sabah dan Sarawak. Melalui program ini, peserta dapat menonjolkan bakat-bakat dan kreativiti remaja dalam bidang seni dan budaya. Program ini dilaksanakan dalam bentuk interaksi, ceramah dan latihan dalam kumpulan. Selain itu, program ini akan melatih bagi melahirkan belia sebagai NGO baharu dengan menubuhkan persatuan seni budaya dalam menjana ekonomi melalui persatuan/syarikat yang ditubuhkan.
Kem Generasi Budaya merupakan kesinambungan program Kem Sosio Budaya yang pernah dilaksanakan oleh Bahagian Kebudayaan di bawah Kementerian Belia dan Sukan sejak tahun 1972 dan kali terakhir penganjuran yang dilaksanakan ialah pada tahun 2015.
Program ini juga telah mendapat kerjasama dari Akademi Kenegaraan Malaysia dan ia merupakan salah satu inisiatif JKKN dalam memastikan penyemarakkan aktiviti seni budaya dan warisan dapat memperkuatkan jati diri dalam kalangan peserta sejajar dengan 6 Nilai Teras Malaysia MADANI iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan ke arah memupuk semangat perpaduan melalui kepelbagaian dan cintakan negara dalam konteks seni dan budaya.
Melalui program ini juga, JKKN berharap agar para peserta dapat mengambil peluang untuk mempelajari ilmu yang baharu selain dapat meluaskan jaringan kerjasama antara peserta dan semoga program silang budaya ini memberi impak positif kepada generasi muda dalam terus melahirkan rasa cinta terhadap seni dan budaya.
Bagi mendapatkan maklumat dan keterangan lanjut mengenai program ini, orang ramai boleh melayari media sosial JKKN melalui pautan
www.facebook.com/mysenibudaya.