PETALING JAYA, 2 Okt (Bernama) -- Halal Development Corporation Berhad (HDC) mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee di atas pelantikan beliau sebagai Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang baharu.
Pengerusi HDC, Khairul Azwan Harun berkata, “Saya yakin bahawa di bawah kepimpinan Dato’ Dr. Sirajuddin, JAKIM akan terus maju dan memainkan peranan yang lebih signifikan dalam memperkukuhkan nilai-nilai Islam serta mempromosikan keharmonian dan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.”
HDC turut berbesar hati dengan pelantikan Datin Paduka Hajah Hakimah Yusoff sebagai Penyelaras Hal Ehwal Halal Negara yang melibatkan koordinasi antara JAKIM, HDC dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE). Menurut Azwan, pelantikan Datin Paduka Hajah Hakimah sebagai Penyelaras Hal Ehwal Halal merupakan pengiktirafan yang sangat bermakna terhadap kepimpinan dan dedikasi beliau dalam bidang pensijilan halal, dan ia pasti akan memacu usaha-usaha untuk memperkukuhkan industri halal negara serta membawa manfaat besar kepada masyarakat dan negara.
Tambah Azwan lagi, “Kami penuh yakin bahawa pelantikan Datin Paduka Hajah Hakimah ini juga akan membantu segala perancangan dan pelaksanaan dasar serta program, termasuk pemantauan dan pelaksanaan Pelan Induk Industri Halal (HIMP 2030) di bawah Majlis Pembangunan Industri Halal yang dipengerusikan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri. Ia juga akan memperkasa ekosistem halal dan mengekalkan dominasi industri halal negara di peringkat global.”
HIMP 2030 adalah sebuah pelan strategik jangka panjang yang dirangka oleh kerajaan untuk memajukan ekosistem halal. Pelan ini bertujuan antara lain untuk memastikan pembangunan industri halal Malaysia terus berkembang dengan pesat dan berdaya saing di peringkat global menjelang tahun 2030.
MENGENAI HALAL DEVELOPMENT CORPORATION BERHAD (HDC) Halal Development Corporation meneraju pembangunan integrasi dan komprehensi infrastruktur dan eko-sistem halal Malaysia untuk menjadikan Malaysia sebagai negara paling kompetitif menerajui industri halal dunia.
Dtubuhkan pada 18 September 2006, HDC juga dikenali sebagai pusat penyelaras yang mempromosikan penyertaan dan menyokong pertumbuhan pemain-pemain industri dalam pembangunan eko-sistem Halal Malaysia. Sebuah agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI); organisasi yang pertama di dunia ini disokong sepenuhnya oleh Kerajaan. Untuk maklumat lanjut, sila layari -
www.hdcglobal.com.
SIARAN MEDIA ini disediakan dan dikeluarkan oleh Halal Development Corporation (HDC).
SUMBER : Halal Development Corporation (HDC)
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : Mohd Zamri Hassan
Bahagian Komunikasi Korporat HDC
Tel: +6011 32651000
Emel : zamri.hassan@hdcglobal.com
--BERNAMA