ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

November 29, 2024 -Jumaat

 
  KIMIA MALAYSIA - BERNAS UMUM KERJASAMA STRATEGIK TINGKAT PIAWAIAN KUALITI BERAS

Monday 14/10/2024



Inisiatif pertama seumpamanya bertujuan memajukan kaedah pengujian beras dan keterjaminan makanan negara.
 
SHAH ALAM, 14 Okt (Bernama) -- Jabatan Kimia Malaysia (KIMIA Malaysia), sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama Padiberas Nasional Berhad (BERNAS), pemain utama di dalam industri beras negara, hari ini telah memeterai Nota Kerjasama bagi melaksanakan ujian perbandingan antara makmal (interlaboratory comparisons, ILC) dan ujian kemahiran untuk aktiviti penggredan beras.
 
Makmal BERNAS yang diiktiraf di peringkat antarabangsa melalui ISO ISO7301 dan ISO11746 bakal mengukuhkan lagi usaha untuk meningkatkan kualiti beras secara keseluruhan di Malaysia, memandangkan ILC akan memastikan konsistensi, kebolehpercayaan dan pematuhan kepada piawaian antarabangsa.
 
Melalui kerjasama ini, BERNAS akan membantu KIMIA Malaysia dalam membangunkan kaedah, menyediakan latihan penganalisaan ke atas sampel beras dan membincangkan isu-isu berkaitan penganalisaan beras untuk tujuan ujian perbandingan antara makmal di samping meningkatkan ujian kemahiran bagi analisis beras.

Nota kerjasama ini telah ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BERNAS, Zulkiflee Abdul Rahman dan Marhayani binti Md Saad, Ketua Pengarah KIMIA Malaysia serta disaksikan oleh Ketua Setiausaha MOSTI, YBhg. Dato' Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim, Ketua Setiausaha MOSTI.
 
“Kami mengalu-alukan kerjasama di antara BERNAS dan KIMIA Malaysia di dalam ILC dan ujian kecekapan yang julung kali diadakan untuk penggredan beras. Kami yakin bahawa inisiatif ini akan menjadi pemangkin kepada perubahan ke atas industri padi dan beras negara, sekaligus memberikan kesan yang positif kepada kualiti, keselamatan makanan dan kebolehpercayaan rantaian bekalan padi dan beras dalam jangka masa panjang”, kata Dato' Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim, Ketua Setiausaha MOSTI dalam ucapannya.
 
“Kerjasama ini bukan sahaja selaras dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara berteknologi tinggi yang didorong oleh sains, teknologi dan inovasi (STI), malah ia juga menyokong agenda keterjaminan makanan negara dan meningkatkan daya saing industri beras Malaysia. Kami menantikan hasil positif daripada kerjasama ini dan mengalu- alukan penyertaan lebih banyak makmal di seluruh negara dalam masa terdekat,” ujar beliau lagi.
 
BERNAS bersedia untuk berkongsi pengalamannya dan sebagai antara pemegang amanah industri padi dan beras negara, kami komited untuk bekerjasama dengan semua agensi kerajaan dan pemain industri dalam mendukung agenda keterjaminan makanan negara.

Dikeluarkan oleh:
 
KEMENTERIAN SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI
14 OKTOBER 2024 

SUMBER : KEMENTERIAN SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI (MOSTI)


UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
E-mel: enquiry@mosti.gov.my 

--BERNAMA


 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.