ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

November 29, 2024 -Jumaat

 
  PROGRAM REHLAH SAINS 2024: PUPUK MINAT STEM DALAM KALANGAN PELAJAR AGAMA DAN TAHFIZ PANTAI TIMUR

Wednesday 16/10/2024



KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Program Rehlah Sains 2024, anjuran Pusat Sains Negara (PSN) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) di bawah inisiatif SciTech4U, bakal berlangsung bermula 16 Oktober hingga 30 Oktober ini, menjelajah sekolah-sekolah agama dan tahfiz di negeri Kelantan, Terengganu, dan Pahang. Program ini bertujuan untuk mendekatkan pelajar agama dan tahfiz kepada aktiviti sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (STEM), sekaligus menyemarakkan minat mereka dalam bidang berkenaan.
 
Meneroka STEM Melalui Pendekatan Holistik
 
Menurut Ruziah Binti Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI, menerusi Program Rehlah Sains 2024, PSN mengetengahkan pelbagai aktiviti pembelajaran interaktif yang berkonsepkan "Hands On, Minds On, Hearts On". Objektif utama program ini adalah untuk memupuk minat terhadap bidang STEM dalam kalangan pelajar agama dan tahfiz, serta melahirkan generasi yang berfikiran kreatif, berinovasi, dan berdaya saing.
 
Beliau juga berkata, sebanyak sembilan (9) sekolah agama dan tahfiz dari negeri-negeri Pantai Timur akan terlibat, antaranya Sekolah Menengah Agama Falahiah Sungai Sok di Kuala Krai, Maahad Tahfiz Sains Bustanul Arifin di Tumpat, dan Maahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman di Terengganu. Pameran bergerak PSN Trooperz On the Move akan menjelajah selama 15 hari untuk membawa sains kepada para pelajar di lokasi ini.
 
Integrasi STEM dan Tahfiz: Keunikan Program Rehlah Sains 2024
 
Menurut Pengarah Pusat Sains Negara, Mohammad Fuad Rahman, apa yang membezakan program ini adalah pendekatan holistik yang menggabungkan elemen STEM dengan nilai-nilai agama. Melalui bimbingan daripada pakar STEM dan mentor agama, pelajar dapat mengaitkan sains dengan ajaran Islam, sekali gus memberi perspektif yang lebih luas mengenai manfaat kedua-duanya.
 
Antara aktiviti menarik yang disediakan ialah Cabaran STEM, Pertunjukan Sains yang mencetuskan ‘wow factor’, serta bengkel falak dan astronomi yang mengaitkan sains dengan Islam. Program ini turut memperkenalkan teknologi terkini seperti robotik dan kecerdasan buatan (AI) kepada para peserta.
 
Kerjasama Agensi dan Pihak Swasta
 
Program ini mendapat sokongan daripada pelbagai agensi di bawah MOSTI seperti Planetarium Negara, Jabatan Kimia Malaysia, Jabatan Tenaga Atom Malaysia dan Akademi Sains Malaysia, selain kolaborasi dengan agensi-agensi tempatan dari negeri Kelantan, Terengganu, dan Pahang.
 
Harapan MOSTI dan PSN
 
Dianggarkan lebih daripada 5,000 pelajar akan mendapat manfaat daripada program ini. Harapan MOSTI dan PSN adalah agar Program Rehlah Sains 2024 mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan bakat dalam bidang sains dan teknologi, serta menyokong agenda Malaysia Madani dalam pengupayaan modal insan untuk menghadapi Revolusi Industri 4.0.
 
Maklumat lanjut mengenai program ini boleh didapati melalui platform media sosial Pusat Sains Negara atau laman web rasmi www.psn.gov.my

Dikeluarkan oleh:
 
KEMENTERIAN SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI
16 OKTOBER 2024

SUMBER: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) 

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 
Emel: enquiry@mosti.gov.my

--BERNAMA 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.