|
|
November 28, 2024 -Khamis |
|
|
|
|
|
|
PEMENTASAN KARYA AGUNG TEATER ASY SYURA SEMARAKKAN TEATER NEGERI PERLIS
Monday 21/10/2024
Poster Karya Agung : Teater As Syura
KANGAR, 21 Okt (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Majlis Kebudayaan Negeri Perlis akan mementaskan Teater Asy Syura karya Tan Sri Johan Jaafar pada 25 dan 26 Oktober 2024 (Jumaat & Sabtu) bertempat di Auditorium, Kompleks JKKN Perlis. Pementasan hari pertama akan diserikan dengan kehadiran YAB Tuan Mohd Shukri bin Ramli, Menteri Besar Perlis bersama isteri. Turut hadir bersama menyaksikan pementasan teater ialah YB Puan Wan Badariah binti Wan Saad, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis Kemajuan Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Pemerkasaan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Perlis dan YBrs. Puan Salmiyah binti Ahmad, Pengarah Bahagian Bimbingan Seni Budaya, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN). Program Karya Agung ini merupakan inisiatif Belanjawan 2024 yang diperkenalkan oleh kerajaan bagi mengangkat karya-karya yang telah diiktiraf diperingkat negeri dan juga negara selain bertujuan menyemarakkan dan mengangkat karya seni, sastera, teater warisan, dan karya agung tempatan. Pementasan Teater Asy-Syura oleh JKKN Perlis ini merupakan satu usaha untuk terus menyemarak dan mengembangkan seni teater dalam kalangan generasi muda di negeri tersebut.
Teater yang berkonsepkan realisme ini mengambil intipati Surah Asy-Syura, yang berkisar mengenai perbalahan adik-beradik iaitu Mid, Nin, Odah, Agok dan Ajis yg sering bercanggah pendapat dalam menguruskan tanah pusaka peninggalan arwah ayah mereka. Ada yang benar-benar mahukan tanah pusaka tersebut dijual dan ada juga yang mahu tanah pusaka tersebut dibahagikan agar masing-masing mendapat bahagiannya. Pergolakan semakin kusut apabila abang sulung mereka, Mid yang hakikatnya seorang lelaki yang sempurna dengan didikan agama tinggi namun di atas sikapnya yang gemar berjudi, tamak dan keras hati menyebabkan dia dimusuhi oleh orang sekelilingnya. 'Kebisuan' Jarah, isteri kepada Mid lantaran perbuatan suaminya itu dipendam dan tidak pernah diluahkan. Hal ini berlanjutan sehinggalah Inah, anak kepada Nin dan Siah menemui ajalnya. Setelah apa yang berlaku dihadapannya, Mid mula sedar atas semua yg telah terjadi dek kerana angkaranya sendiri. Pementasan teater ini akan dibintangi barisan pelakon tanah air antaranya ialah aktor Fendy Bakry, Hairi Safwan dan Yaakob Abd. Aziz yang merupakan pelakon filem dan drama yang tidak asing lagi bagi penggemar drama dan filem tempatan. Selain itu, ia turut dibarisi pelakon anak jati Perlis iaitu Noor Hanan, Azam Muhamad, Hafedz, Syahidah, Fathin Salsabeila, M Yushazizi, Aini Nadiah dan Iswani. Justeru, orang ramai dijemput hadir menyaksikan pementasan teater di Auditorium JKKN Perlis pada 25 dan 26 Oktober 2024 (Jumaat & Sabtu). Bagi mendapatkan maklumat dan keterangan lanjut, orang ramai boleh hubungi JKKN Perlis di talian 04-979 3600 / 04-979 3604 dan melayari media sosial JKKN melalui pautan www.facebook.com/mysenibudaya dan laman web JKKN.
Dikeluarkan Oleh: Unit Komunikasi Korporat Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Tel: 03-2614 8200 Faks: 03-2697 0786 Laman Sesawang: www.jkkn.gov.my E-mel: ukk@jkkn.gov.my Platform Media Sosial Rasmi JKKN: Facebook: @Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dan @mysenibudaya Instagram, Twitter & YouTube: @mysenibudaya
SUMBER: Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: Nama: Nurhidayah Binti Zakaria Unit Komunikasi Korporat Tel : 03-26148200 / 019-559 6404
--BERNAMA
|
|
|
|
|
|