|
|
November 28, 2024 -Khamis |
|
|
|
|
|
|
IKIM MENYAMBUT BAIK BELANJAWAN 2025
Tuesday 22/10/2024
KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menyambut baik pembentangan Belanjawan 2025 yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lepas. Sebagai sebuah institut yang berperanan dalam memberi kefahaman Islam yang benar kepada masyarakat, kami mengalu-alukan usaha-usaha kerajaan dalam memperkasa dan meningkatkan syiar Islam di negara ini.
Peruntukan berjumlah RM2 billion untuk hal ehwal Islam yang diumumkan menunjukkan satu iltizam yang jitu pihak Kerajaan Madani terhadap pemerkasaan agama Islam.
Islam menekankan pentingnya ilmu pengetahuan sebagai asas keimanan dan kemakmuran. Dalam hal ini, peruntukan yang disalurkan untuk memperkukuh institusi pendidikan Islam seperti sekolah pondok, sekolah tahfiz, dan sekolah agama rakyat adalah langkah yang sangat dialu-alukan.
Selain dapat memperkukuh pendidikan Islam, langkah ini dilihat dapat memperluas jangkauan syiar Islam kepada masyarakat Malaysia. Melalui usaha bersama, kita dapat membangunkan masyarakat yang berakhlak dan berilmu, selaras dengan gagasan Malaysia Madani yang juga seiring dengan tuntutan Islam yang menekankan aspek pendidikan dan pembelajaran sepanjang hayat.
Penggunaan konsep wakaf dalam meningkat syiar Islam menerusi hasrat kerajaan untuk meluncurkan ikhtiar wakaf al-Quran dengan mencetak sejuta naskhah al-Quran dalam pelbagai bahasa untuk diedar ke seluruh dunia amat kena pada masanya. Diharap kesalahfahaman terhadap Islam dalam kalangan segelintir masyarakat dunia dapat dibetulkan menerusi usaha ini.
Pada masa yang sama kami di IKIM akan berkerjasama dengan agensi-agensi Islam yang lain bagi membantu pihak kerajaan mengekang pemikiran yang menyimpang daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah. Aliran pemikiran yang menyeleweng ini jika tidak dibendung daripada awal dikhuatiri akan mengganggu gugat keharmonian dan keutuhan perpaduan umat Islam di negara ini.
Secara keseluruhannya, IKIM menyokong sepenuhnya semua usaha kerajaan dalam meningkatkan syiar Islam yang diumumkan dalam Bajet 2025, dan ini termasuklah juga inisiatif-inisiatif yang berkaitan dengan kewangan Islam, pemerkasaan konsep wakaf dan industri halal. IKIM berharap semua inisiatif ini dapat dilaksanakan dengan jayanya dan memberi manfaat yang besar kepada seluruh rakyat Malaysia.
PROF. MADYA DATO’ DR. MOHAMED AZAM MOHAMED ADIL KETUA PENGARAH INSTITUT KEFAHAMAN ISLAM MALAYSIA
22 Oktober 2024 /19 Rabiulakhir 1446H
SUMBER: INSTITUT KEFAHAMAN ISLAM MALAYSIA
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: UNIT PERHUBUNGAN KORPORAT Nama: Pn. Hajah Nik Hasnah binti Ismail Tel: 016-2195345 E-mel: nikhasnah@ikim.gov.my
--BERNAMA
|
|
|
|
|
|