|
|
November 28, 2024 -Khamis |
|
|
|
|
|
|
PROGRAM JELAJAH HAWANA 2024 BERSAMA SISWA ZON SABAH
Friday 25/10/2024
KOTA KINABALU, 25 Okt (Bernama) -- Seramai 200 pelajar dan pensyarah Program Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyertai Program Jelajah Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 Bersama Siswa bagi zon Sabah hari ini. Program jelajah ini diadakan adalah bersempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024, bertujuan meningkatkan kefahaman mahasiswa tentang dunia kewartawanan. Program pertama telah diadakan dengan kerjasama Universiti Malaysia Sarawak pada 25 Mei 2024. Tiga sesi perkongsian ilmu diadakan dengan memberi fokus kepada topik terkini dunia media seperti Mobile Journalism (MoJo), Fact Check, dan ceramah bertajuk "Klik Dengan Bijak". Sesi ini memberi panduan kepada pelajar tentang cara menghasilkan kandungan media yang berkesan serta kepentingan menyemak fakta bagi mendapatkan maklumat yang sahih selain mengekang penyebaran maklumat palsu. Pada majlis ini, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) Nur-ul Afida Kamaludin merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA 2024 menyampaikan sumbangan satu set komputer berkeupayaan tinggi dan sebuah televisyen pintar kepada Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), UMS. Turut hadir Yang Berusaha Prof. Ir. Dr. Rosalam Sarbatly - Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) dan Ketua Pengarang BERNAMA merangkap Pengarah Projek HAWANA 2024, Yang Berusaha Encik Arul Rajoo Durar Raj.
Program Jelajah (HAWANA) 2024 melibatkan enam zon iaitu Sarawak, Sabah, Tengah, Utara, Pantai Timur dan Selatan. Majlis perasmian disempurnakan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil pada 25 Mei lepas di Pustaka Negeri Sarawak, Kuching. Menerusi program ini, warga institusi pengajian tinggi awam diberi pendedahan secara langsung mengenai dunia media. Sesi perkongsian daripada pengamal media berpengalaman membolehkan pelajar memahami cabaran dan peluang dalam dunia kewartawanan, sekali gus menanam minat mendalam terhadap kerjaya ini. Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan BERNAMA sebagai agensi pelaksana. Disediakan oleh: Urus setia Program Jelajah HAWANA 2024 Bersama Siswa
SUMBER : Urus setia Program Jelajah HAWANA 2024 Bersama Siswa
UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: Nama : Puan Azlin / Puan Fateha Tel : 017-388 8421 / 019-238 9855
--BERNAMA |
|
|
|
|
|