|
|
|
|
|
|
KESELAMATAN SINARAN NUKLEAR DI TEMPAT KERJA PERLU DIBERI PENEKANAN
Tuesday 29/10/2024
Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Rosli bin Darmawan semasa ucapan perasmian bagi Seminar Kesedaran Keselamatan Sinaran bagi Orang Bertanggungjawab Terhadap Lesen (OBTL) di Hotel Cititel MidValley, Kuala Lumpur
KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Kepimpinan dalam pengurusan keselamatan sinaran kini diberi penekanan besar dalam memastikan pematuhan kepada Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304). Dalam usaha ini, Agensi Nuklear Malaysia mengadakan Seminar Kesedaran Keselamatan Sinaran bagi Orang Bertanggungjawab Terhadap Lesen (OBTL) dengan fokus kepada pentingnya peranan OBTL dalam mengawal keselamatan sinaran di tempat kerja. Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Rosli Darmawan berkata, “Sebagai OBTL, tanggungjawab yang dipikul adalah besar iaitu memastikan setiap amalan berkaitan sinaran dalam organisasi dijalankan mengikut piawaian keselamatan yang ketat dan mematuhi Akta 304, atau lebih dikenali sebagai Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984. Akta 304 ini bukan sekadar garis panduan, tetapi menjadi asas utama yang mengawal selia penggunaan tenaga atom dan bahan radioaktif di Malaysia. Kepatuhan kepada akta ini bukan sahaja wajib, malah tidak boleh dikompromi. Dengan kepatuhan yang tinggi, kita dapat mengurangkan risiko sinaran, melindungi kesihatan awam serta memelihara alam sekitar daripada ancaman sinaran yang tidak terkawal. Seminar ini telah mengetengahkan peranan penting teknologi dan aplikasi sinaran mengion dalam pelbagai sektor antaranya pertanian, perubatan, agrikultur, industri, pembuatan, penyelidikan dan alam sekitar. Walaupun teknologi ini memberi kelebihan kompetitif kepada negara, aspek keselamatan tidak boleh diabaikan. Justeru, seminar ini menjadi satu wadah ilmu untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman dalam pengurusan dan kepimpinan nuklear terhadap perlindungan sinaran keselamatan, amalan keselamatan sinaran terbaik di tempat kerja dan budaya kerja yang selamat dalam kalangan para OBTL, pekerja sinaran dan orang awam di sekitarnya. Kepimpinan dalam bidang ini bukan sahaja menekankan aspek pengetahuan teknikal, malah memerlukan pengurusan strategi betul dalam perlindungan keselamatan sinaran. Semua pihak terlibat perlu memainkan peranan proaktif dalam memastikan keselamatan sinaran yang mampan. Kerjasama dan sokongan yang mantap serta komitmen yang berterusan oleh semua pihak boleh menjadi asas kepada kepimpinan nuklear yang mantap dan berwibawa.Penerapan budaya keselamatan yang kuat secara menyeluruh adalah kunci kepada kejayaan pengurusan sinaran di Malaysia. Mengenai Agensi Nuklear Malaysia Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) adalah sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang berperanan sebagai agensi peneraju bagi mempromosi dan melaksanakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) sains dan teknologi (S&T) nuklear di Malaysia. Aktiviti R&D yang dilaksanakan melibatkan beberapa bidang utama termasuklah industri, perubatan, makanan dan pertanian, air dan sumber asli, alam sekitar, tenaga, serta keselamatan, sekuriti dan kawal selianuklear. Hasil R&D yang berpotensi turut diketengahkan ke pasaran untuk memanfaatkan penemuan inovasi saintifik kepada rakyat dan ekonomi negara. Bersandarkan kepakaran dan pengalaman luas dalam bidang S&T nuklear, infrastruktur dan kemudahan penyelidikan yang lengkap, serta disiplin tenaga kerja yang profesional, Nuklear Malaysia sentiasa komited dalam menyediakan perkhidmatan yang berkualiti kepada pelbagai rakan kerjasama strategik, pelanggan, dan masyarakat keseluruhannya. Sumber: KEMENTERIAN SAINS, TEKNOLOGI & INOVASI (MOSTI)UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: Nama: Nazlia Naim Unit Komunikasi Korporat Agensi Nuklear Malaysia Tel: 012-7526676 Laman web: www.nuclearmalaysia.gov.my
--BERNAMA |
|
|
|
|
|