ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Disember 04, 2024 -Rabu

 
  KECEKAPAN PROSEDUR KELULUSAN DARI 60 KE 7 HARI TINGKAT PRODUKTIVITI PAHANG

Tuesday 29/10/2024



Table

Rajah 1: Majlis Masuk Tapak pembinaan kilang tayar Maxtrek Tyre Manufacturing (M) Sdn Bhd telah dirasmikan pada 28 Oktober 2024 oleh EXCO Pelaburan Pahang


KUANTAN, Pahang, 29 Okt (Bernama) -- Majlis Masuk Tapak untuk pembinaan kilang Maxtrek Tyre Manufacturing (M) Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Gebeng, Kuantan, telah disempurnakan pada 28 Oktober 2024 oleh YB Dato’ Mohamad Nizar bin Dato’ Sri Mohamad Najib, EXCO Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang. Kilang ini dijangka mencipta 700 peluang pekerjaan baharu, sekaligus merancakkan ekonomi tempatan dan menyokong pembangunan sektor perindustrian negeri.
 
Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) telah memainkan peranan penting dalam mempercepatkan prosedur kelulusan permit masuk tapak, memendekkan tempoh biasa 60 hari kepada hanya 7 hari melalui inisiatif inovatif seperti program Fast 8 (F8). Menurut Datuk Bandar Kuantan, inisiatif ini merupakan bukti komitmen MBK terhadap pembangunan pesat Kuantan, dan akan terus diperkasa demi manfaat ekonomi negeri serta kesejahteraan rakyat.
 
Projek pembinaan kilang Maxtrek Tyre, yang melibatkan pelaburan sebanyak RM1.33 bilion, akan memfokuskan kepada pengeluaran tayar untuk kenderaan penumpang, trak ringan, dan bas. Kilang yang akan berdiri di atas tanah seluas 170 ekar ini dijangka siap sepenuhnya pada Julai 2025. Selain daripada menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri, projek ini turut memperkukuhkan hubungan perdagangan Malaysia dengan China.
 
Projek Maxtrek Tyre merupakan sebahagian daripada inisiatif "Pembinaan Pantas" yang diperkenalkan oleh MBK dengan sokongan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC). Ketua Pengarah MPC, Zahid Ismail, menyatakan bahawa inisiatif ini telah membawa kepada peningkatan produktiviti yang ketara di kalangan pelbagai pihak berkepentingan, sektor swasta seperti jurutera, kontraktor, dan pemilik projek, serta sektor awam seperti Majlis Bandaraya Kuantan, Pejabat Tanah, dan BOMBA. Beliau juga menegaskan bahawa usaha ini pasti menyumbang kepada peningkatan produktiviti negeri dan negara.
 
Dalam ucapannya, YB Dato’ Mohamad Nizar menyatakan keyakinannya bahawa projek ini akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negeri yang lebih menyeluruh. Beliau turut memuji usaha MBK serta agensi pengawalselia teknikal yang berjaya mempermudah proses-proses berkaitan, sekali gus mempercepatkan kelangsungan projek berimpak tinggi seperti ini. Beliau juga mengucapkan penghargaan kepada sektor industri yang menyokong inovasi kerajaan negeri.
 
MPC turut mengunjurkan bahawa produktiviti pekerja di Pahang akan meningkat sebanyak 5.1% menjelang tahun 2030, dengan sasaran produktiviti mencapai RM128 ribu per pekerja. Usaha ini selari dengan aspirasi negeri untuk mencapai status negeri maju menjelang 2030, memperkukuhkan lagi kedudukan Pahang sebagai sebuah negeri yang produktif, berdaya saing dan progresif di peringkat nasional.

Mengenai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)
Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah badan berkanun di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). MPC memacu produktiviti negara secara holistik di peringkat nasional, sektoral dan enterpris dengan berpandukan tiga teras utama iaitu menghasilkan bakat masa hadapan, memacu pendigitalan dan inovasi, dan membentuk ekosistem yang teguh. MPC berkolaborasi secara strategik dengan sektor swasta dan awam dengan menjadikan produktiviti sebagai agenda utama bagi melonjakkan pertumbuhan produktiviti dan daya saing negara ke arah kesejahteraan dan kemakmuran bersama. 

SUMBER: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Haslizayanti Othman
Tel: 019-3764858 
E-mel: haslizayanti@mpc.gov.my

Nama: Nik Haneez Amizan Nik Rosdi
Tel: 012-2867346
E-mel: nikhaneez@mpc.gov.my   

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.