ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

November 27, 2024 -Rabu

 
  10 SYARIKAT FRANCAIS MALAYSIA SERTAI MIHAS@DUBAI

Friday 15/11/2024



Table

Pengerusi Persatuan Francais Malaysia (MFA), Datuk Dr. Radzali Hassan.


KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) -- Persatuan Francais Malaysia (MFA) bersama 10 syarikat Francais Malaysia dijadualkan akan menyertai program MIHAS@Dubai anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bermula 18 hingga 20 November ini di Dubai World Trade Centre. Antara syarikat francais Malaysia yang akan menyertai program ini adalah CheeseU, CIC Where Leaders Are Born, Coolblog, Irispro, Marrybrown, Mokti’s, Muzart, Secret Recipe, US Pizza dan Q-Dees.

Misi Perdagangan Francais ke Dubai dengan tujuan memperluaskan peluang pasaran dan memacu pertumbuhan usahawan francais Malaysia di peringkat antarabangsa selain untuk mengukuhkan hubungan perdagangan antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Selain itu, misi perdagangan ini merangkumi pelbagai aktiviti seperti pameran perniagaan, sesi perbincangan meja bulat, forum dan lawatan industri. Program ini juga menekankan kelebihan daya saing jenama Malaysia yang berpotensi untuk berkembang dalam sektor makanan, pendidikan, kecantikan, kesihatan, dan perkhidmatan.

Pengerusi MFA, Datuk Dr. Radzali Hassan berkata bahawa misi ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada usahawan Malaysia terhadap pasaran UAE yang dinamik tetapi juga melengkapkan mereka dengan maklumat penting tentang peluang dan cabaran dalam pasaran global. UAE merupakan pintu masuk strategik kepada pasaran yang lebih luas di Timur Tengah dan Afrika Utara, sekaligus memberi impak kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.

“Inisiatif ini selaras dengan Dasar Francais Negara yang menyasarkan untuk mengembangkan jaringan francais Malaysia ke peringkat antarabangsa. Program ini turut memberi ruang kepada usahawan tempatan untuk membina hubungan strategik dan memahami keperluan serta selera pengguna di Dubai,” tambahnya.

Delegasi Malaysia termasuk pegawai daripada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS), SME Corp dan SME Bank. Turut serta dalam misi ini adalah wakil daripada 16 syarikat di bawah naungan agensi-agensi tersebut.

Wakil dari Secret Recipe berkata, Kami amat berbesar hati atas peluang yang diberikan oleh pihak KUSKOP dan MFA dalam menyokong usaha kami mempromosikan jenama Halal Secret Recipe, satu jenama kebanggaan Malaysia. Program misi perdagangan ini bukan sahaja membuka ruang bagi Secret Recipe untuk mempamerkan produk kami, tetapi juga untuk menjalin kerjasama dan hubungan strategik dengan jenama antarabangsa lain dalam industri yang sama. Di samping itu, kami teruja untuk meneroka peluang dalam pasaran Timur Tengah yang kaya dengan kepelbagaian dan potensi besar untuk berkembang.

Sebagai tambahan, wakil Q-Dees turut berkongsi bahawa mereka menyasarkan untuk mempromosikan jenama Q-Dees serta memperluas jaringan perniagaan dengan syarikat-syarikat antarabangsa di Dubai. Program Misi Perdagangan ini merupakan platform yang sangat bernilai bagi Q-Dees untuk mempamerkan kemampuan mereka di pasaran global. Penyertaan dalam program ini membuka peluang kepada syarikat untuk mengenal pasti peluang perniagaan baharu, memahami keperluan pasaran antarabangsa, dan membina hubungan strategik dengan bakal pelanggan serta rakan kongsi. Impak positif daripada penyertaan ini termasuk peningkatan pengiktirafan jenama, pembukaan peluang perniagaan baharu, dan pengukuhan daya saing syarikat di peringkat antarabangsa.

Menurut MFA, beberapa misi perdagangan antarabangsa serta misi khas perniagaan francais, atau dikenali sebagai Specialized Business Mission (Padanan Perniagaan), akan dilaksanakan sepanjang tahun 2025. Misi ini dijadualkan bermula pada bulan Februari dan akan melibatkan negara-negara di Asia Timur, Asia Selatan, Timur Tengah, serta beberapa kawasan lain.

MFA yakin dengan perlaksanaan program ini akan membuka peluang baharu yang luas bagi francais Malaysia dan meningkatkan daya saing francais tempatan di pasaran global.

Latar Belakang Misi Perdagangan Francais

· Program kerjasama Persatuan Francais Malaysia (MFA) dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP)
· Misi Perdagangan ini adalah aktiviti di bawah Enhanced Francise Development Program (EFDP)
· Program ini bertujuan mempromosikan jenama francais tempatan Malaysia dan seterusnya menembusi pasaran perniagaan di Filipina menerusi pematerai padanan perniagaan dan mesyuarat perniagaan antara syarikat-syarikat Malaysia bersama pelabur antarabangsa

SUMBER: Persatuan Francais Malaysia (MFA)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:
Nama: Nurul Ain
Bahagian Komunikasi Korporat
Persatuan Francais Malaysia (MFA)
Tel: 603-6241 4141  
Faks: 603-6241 1551  
E-mel: ain.mohamad@mfa.org.my
Laman web: www.mfa.org.my

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.