|
|
Disember 27, 2024 -Jumaat |
|
|
|
|
|
|
CIMB BANTU KANAK-KANAK PALSI SEREBRUM MENERUSI KAD DEBIT VISA CIMB
Tuesday 03/12/2024
(Dari kiri) Effendy Shahul Hamid, Ketua Pegawai Eksekutif, Pengguna dan Perbankan Kumpulan, CIMB Group; Yang Berhormat Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan; dan Rafidah Rafizah Ahmad, Presiden dan Pengasas Gabungan Anak-Anak Palsi Serebrum (“GAPS”) di pelancaran kad debit Visa CIMB. Inisiatif ini adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia, CIMB akan menyumbang RM2 kepada GAPS untuk kad debit Visa yang dikeluarkan sebagai komitmennya dalam mewujudkan impak sosial positif dengan membantu kanak-kanak palsi serebrum.
CIMB turut perkenal hab komuniti pertamanya di cawangan Plaza Damansara
KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- CIMB Bank Berhad dan CIMB Islamic Bank Berhad (“CIMB” atau “Bank”) hari ini mengumumkan usaha mereka dalam membantu kanak-kanak palsi serebrum menerusi pelancaran kad debit Visa CIMB. Inisiatif ini adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia, mengukuhkan lagi komitmen CIMB dalam mewujudkan impak positif sosial dengan membantu kanak-kanak yang mengalami palsi serebrum dalam membangunkan keyakinan dan kemandirian mereka, dalam masa sama terus memperjuangkan keterangkuman dengan meningkatkan kesedaran mengenai perkara ini.
Penerima manfaat inisiatif ini ialah Gabungan Anak-Anak Palsi Serebrum (“GAPS”), badan bukan kerajaan (“NGO”) yang memperkasa kanak-kanak palsi serebrum menerusi peralatan rehabilitasi dan program-program pemerkasaan. Menerusi kempen ini, CIMB akan menyumbang RM2 kepada GAPS untuk setiap kad debit Visa yang dikeluarkan dan ini membolehkan GAPS untuk beroperasi secara mampan dan kekal fokus dalam menyediakan bantuan kepada kanak-kanak yang memerlukan menerusi sumbangan yang berterusan. Sebagai sebahagian daripada komitmen kelestarian Bank yang lebih luas, ini juga merupakan kad debit pertama dihasilkan menggunakan PVC kitar semula yang diperbuat daripada bahan-bahan pasca industri, mencerminkan usaha ke arah pemilihan bahan-bahan lebih lestari dalam rekaan produk.
Pelancaran kad debit Visa CIMB baharu ini telah disaksikan oleh YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan yang juga Ahli Parlimen Segambut, diiringi Effendy Shahul Hamid, Ketua Pegawai Eksekutif, Pengguna dan Perbankan Digital Kumpulan, CIMB Group, Rafidah Rafizah Ahmad, Presiden dan Pengasas GAPS dan Mohammad Ridzuan Mohamad Puzi, atlet Paralimpik kebangsaan. Di majlis itu, CIMB juga telah menyerahkan peralatan rehabilitasi kepada GAPS, sekali gus mengukuhkan komitmen Bank terhadap memartabatkan komuniti palsi serebrum.
YB Hannah berkata, “Sempena Hari Orang Kurang Upaya Antarabangsa, saya berbesar hati melihat CIMB tampil dengan inisiatif-inisiaif yang menjangkaui perkhidmatan kewangan bagi menghasilkan impak sosial yang ketara. Usaha-usaha ini mempamerkan komitmen kukuh dalam menyemai nilai keterangkuman dan kerjasama, menggalakkan lebih ramai masyarakat untuk tampil sama membantu golongan kurang berkemampuan. Inisiatif sedemikian bukan hanya meningkatkan kesedaran, malah mendorong tindakan secara bersama ke arah membangunkan masyarakat yang lebih prihatin dan inklusif.”
Effendy berkata, “Kami komited untuk menjadi sebuah bank yang tidak hanya memacu pertumbuhan kewangan tetapi juga menerajui inisiatif sosial, mengukuhkan komitmen kami bagi memperkasa pelanggan dan masyarakat. CIMB berbesar hati untuk bekerjasama dengan GAPS untuk memberi impak bermakna dalam kehidupan kanak-kanak yang mengalami palsi serebrum melalui pengagihan sumbangan untuk peralatan rehabilitasi penting dan program-program pemerkasaan. Kerjasama ini mencerminkan keyakinan kami bahawa perubahan positif bermula di peringkat masyarakat. Dengan menyemai budaya keterangkuman, kami bermatlamat untuk menambah baik kehidupan setiap individu dan meningkatkan kebersamaan sosial dalam kalangan masyarakat secara menyeluruh.”
Menurut Rafidah, “Berdasarkan data kami, lebih 81% keluarga yang mempunyai ahli keluarga dengan palsi serebrum tergolong dalam kumpulan B40. Keluarga yang menjaga individu palsi serebrum sering berdepan kesukaran berkaitan pendidikan khas, penjagaan kesihatan, kesejahteraan hidup, serta keperluan terhadap peralatan rehabilitasi khas yang melibatkan kos tinggi. Sokongan CIMB dengan pembiayaan peralatan rehabilitasi dan aktiviti pemerkasaan ini akan meringankan bebanan mereka secara signifikan. Dengan sumber yang tepat, kanak-kanak ini mampu mencapai kecemerlangan dalam bidang minat masing-masing dan menjalani kehidupan yang lebih sempurna serta mampu mencapai potensi sebenar mereka.”
Selari dengan komitmen yang menggalakkan inisiatif sosial, CIMB memperkenalkan Hab Komuniti di cawangan-cawangan terpilih, meraikan 100 tahun perkhidmatannya kepada masyarakat dengan ruang untuk libat urus bermakna. Ruang unik itu bertindak sebagai fasiliti usahasama yang membolehkan NGO, pelanggan dan masyarakat setempat bersama-sama mengemukakan inisiatif berkesan untuk sokongan CIMB bagi menangani keperluan segera masyarakat. CIMB merancang untuk mengembangkan model itu ke cawangan-cawangan lain di seluruh negara bagi memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk terlibat sama dalam inisiatif-inisiatif bermakna dan menyokong masyarakat secara aktif di bawah kendalian Bank.
“Dengan memperkenalkan Hab Komuniti ini, kami berhasrat untuk memperkukuh libat urus bersama pelanggan dan bekerjasama dengan rakan komuniti tempatan bagi mengenal pasti dan menangani keperluan-keperluan mendesak secara kolektif, seterusnya membangunkan penyelesaian mampan yang memperkasa golongan kurang berkemampuan. Secara bersama, kita boleh memacu impak yang signifikan dan mewujudkan masyarakat yang lebih prihatin dan inklusif demi kepentingan semua,” jelas Effendy.
Kad debit Visa CIMB kini boleh didapati di semua cawangan seluruh negara. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.cimb.com.my/visadebit.
Untuk mengambil bahagian dalam Hab Komuniti CIMB, orang ramai boleh mengunjungi cawangan Plaza Damansara pada waktu operasi bank atau hantarkan cadangan inisiatif komuniti mereka di www.cimbfoundation.com/pwgrant.
Tentang CIMB CIMB Group merupakan sebuah institusi perbankan ASEAN yang terkemuka dan penyedia perkhidmatan kewangan kedua terbesar di Malaysia, mengikut aset. Disenaraikan di Bursa Malaysia melalui CIMB Group Holdings Berhad, CIMB mempunyai permodalan pasaran sekitar RM86.3 bilion setakat 30 September 2024. CIMB menawarkan produk dan perkhidmatan perbankan pengguna, perbankan komersial, perbankan borong, perbankan transaksi, perbankan Islam dan pengurusan aset. Berpusat di Kuala Lumpur, CIMB beroperasi di lapan negara ASEAN (Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand, Kemboja, Vietnam, Myanmar dan Filipina).
Di luar ASEAN, CIMB Group turut beroperasi di pasaran China, Hong Kong dan UK. CIMB mempunyai salah satu rangkaian cawangan perbankan yang terluas di ASEAN dengan 592 buah cawangan dan sekitar 33,000 orang pekerja setakat 30 September 2024. Unit perbankan pelaburan CIMB merupakan salah sebuah bank pelaburan terbesar yang berpusat di Asia Pasifik, bersama dengan unit perbendaharaan & pasaran dan perbankan korporat yang dinobatkan anugerah yang membentuk francais perbankan borong terkemuka Kumpulan. CIMB juga memegang 92.5% saham di Bank CIMB Niaga, Indonesia dan 94.8% saham di CIMB Thai,Thailand.
SUMBER: CIMB Group
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: Nama: Anis Azharuddin / Kelvin Jude Muthu Kumpulan Komunikasi Korporat CIMB Group Holdings Berhad E-mel: anis.azharuddin@cimb.com / kelvinjude.muthu@cimb.com
--BERNAMA
|
|
|
|
|
|