Februari 06, 2025 -Khamis

 
  SAMBUTAN PERAYAAN TAHUN BARU CINA PERINGKAT NEGERI SELANGOR TAHUN 2025

Thursday 23/01/2025



Table

Dari Kiri: Puan Hashila Binti Hamzah, Pengarah Jabatan Korporat dan Pembangunan Masyarakat, Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), YBhg. Dato’ Hasan Azhari Bin Hj. Idris, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad, YB Tuan Ng Sze Han, Exco Pelaburan, Perdagangan & Mobiliti Negeri Selangor, Venerable Jue Cheng, Ketua Abbess Fo Guang Shan, YBhg. Datin Seri Yong Chou Lian, Presiden Buddha's Light International Association Malaysia


KUALA LANGAT, 23 Jan (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor dengan kerjasama Invest Selangor Berhad akan menganjurkan Sambutan Perayaan Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Selangor Tahun 2025 pada 8 Februari 2025 (Sabtu), jam 5.30 petang – 11.00 malam di Perkarangan Fo Guang Shan Dong Zen Temple, Jenjarom, Selangor.
 
Berbanding tahun lepas dimana, sambutan perayaan ini telah diadakan di salah satu pusat membeli belah terkemuka di Selangor iaitu di IOI City Mall, Sepang dengan kehadiran pengunjung sekitar 25,500 orang. Tahun ini sambutan akan berlangsung di Perkarangan Fo Guang Shan Dong Zen Temple, Jenjarom bersempena dengan Pesta Tanglung dan Pameran Bunga-Bungaan yang bermula pada 25 Januari hingga 12 Februari 2025 yang meliputi kawasan seluas 38 ekar. Antara daya tarikan utama adalah “tanglung raksasa” berukuran 22 meter yang diinspirasikan daripada Lagenda Ular Putih selain itu turut dipamerkan “tanglung Selangor” yang berukuran 28 kaki yang bertemakan tahun ular. 
 
D.Y.M.M. Sultan Selangor telah berkenan untuk mencemar duli berangkat hadir bagi menyempurnakan majlis ini bersama D.Y.M.M. Tengku Permaisuri Selangor. Baginda turut berkenan mencemar duli ke meja upacara ‘Yee Sang” bersama dengan dif-dif kehormat sebagai simbolik perayaan Tahun Baru Cina. Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor turut berkenan untuk menyampaikan sumbangan “angpau” kepada kanak-kanak berusia bawah 12 tahun dan warga emas terpilih sebagai tanda penghargaan sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Majlis ini juga akan turut dihadiri oleh Kerabat DiRaja Selangor, YAB Dato’ Seri Amirudin bin Shari, Dato’ Menteri  Besar Selangor & Isteri, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ketua – ketua Jabatan, wakil-wakil Kedutaan Asing, persatuan/ dewan-dewan perniagaan antarbangsa/ tempatan, pemegang taruh Industri dan pelaburan di Negeri Selangor serta seluruh warga Selangor. Dianggarkan sekitar 30,000 orang dijangka hadir untuk menyemarakkan lagi Sambutan Perayaan Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Selangor Tahun 2025.
 
Antara pengisian menarik yang disediakan sepanjang majlis berlangsung adalah seperti:-

Pra-Persembahan, 5.45petang – 6.45petang
i. Persembahan Acrobatics;
ii. Persembahan dari SJK(C) Jenjarom;
iii. Persembahan dari SJK(T) Jenjarom;
iv. Persembahan Tarian Kontemporari dari perbagai kaum;
v. Persembahan dari SK Sungai Bumbun Asli;
vi. Persembahan koir dari Dandelion & Children.
 
Persembahan Utama, 8.30malam – 9.35malam
i. Tarian Singa sebagai tarian pembukaan
ii. Persembahan tarian Dance of the Golden Snake dari Dua Space Dance Theatre;
iii. Persembahan koir Soaring Happiness Village dari Dandelion & Children;
iv. Persembahan Wushu dari Wonder Xia Ke;
v. Persembahan tarian Ingang dan Iboq dari SK Sungai Judah;
vi. Persembahan nyanyian Loving You with Malaysia’s Weather dari Ah Niu. 

Tarikan lain termasuklah Taman Lumbini yang dikelilingi oleh paparan orkid yang indah, kolam ikan koi yang menenangkan. Keindahan taman ini semakin menyerlah terutama semasa musim perayaan di mana kawasan ini dihiasi dengan tanglung merah, lampu LED dan struktur 3D yang bercahaya dan berwarna warni. 

Sempena Sambutan Perayaan Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Selangor 2025, jamuan makan istimewa dengan menu vegetarian akan disediakan untuk para tetamu, selaras dengan tema dan lokasi sambutan dalam 2 sesi, iaitu sesi pertama bermula jam 5.30 petang dan sesi kedua jam 8.30 malam untuk 5,000 orang. 

Tradisi pemberian ‘angpow’ kepada kanak-kanak berusia bawah 12 tahun serta pengagihan limau mandarin turut diadakan sebagai simbol keberkatan dan kemakmuran. Sebanyak 3,000 tempat letak kereta percuma disediakan di perkarangan rumah ibadat dengan selebihnya di kawasan sekitar.

YB Tuan Ng Sze Han, EXCO Pelaburan, Perdagangan & Mobiliti, Negeri Selangor dalam sidang media berkata, “Penganjuran Tahun Baru Cina kali ini di Perkarangan FGS Dong Zen Temple adalah lambang semangat muhibbah, kemajmukan dan kebersamaan rakyat Negeri Selangor yang terbuka dan inklusif dalam meraikan sambutan-sambutan perayaan di Malaysia.”
 
Untuk maklumat lanjut mengenai program ini, sila hubungi pihak Invest Selangor, Puan Maryani di talian 016-699 7901 atau maryani@investselangor.my
 
Untuk maklumat pelaburan negeri Selangor, sila lawati www.investselangor.my 

SUMBER: Invest Selangor Berhad

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Name: MARYANI MAT SAAD (Yanie)
Senior Executive
Strategic Planning and Communication Division
Tel: +603 5510 2005 
Fax: +603 5519 6403  

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2025 MREM . All rights reserved.