|
|
|
 |
|
|
TIADA PENINGKATAN KES JANGKITAN SELESEMA (INFLUENZA)
Thursday 06/02/2025
KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin merujuk kepada beberapa laporan media luar negara yang melaporkan peningkatan kes influenza secara mendadak. Berdasarkan laporan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi Rantau Pasifik Barat (WPRO), kadar positif bagi sampel influenza yang diuji ialah 26.19% pada Minggu Epidemiologi 1 Tahun 2025 (ME 1/2025) dan 21.97% pada ME 4/2025, iaitu penurunan sebanyak 4%.
Malaysia tidak menunjukkan tren peningkatan kes influenza, dan tidak merekodkan sebarang kes selesema burung (avian influenza) dalam kalangan manusia. Berdasarkan laporan mingguan WHO WPRO pada 31 Januari 2025 juga, tiada kes selesema burung baharu dalam kalangan manusia termasuk di Jepun, manakala kes terakhir yang direkodkan di rantau ini ialah pada 1 Januari 2025.
Berdasarkan pemantauan, kadar konsultasi influenza-like illness (ILI) di Klinik Kesihatan pada ME 4/2025 adalah 4.67%, menurun sebanyak 0.14% berbanding 5.81% pada ME 3/2025. Pada tempoh yang sama juga, kadar kemasukan kes jangkitan pernafasan akut yang teruk atau severe acute respiratory infection (SARI) di hospital adalah 7.26%, iaitu menurun 0.16% berbanding 7.52% pada ME 03/2025.
KKM dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sentiasa menjalankan pemantauan aktif dan survelan terhadap ladang ternakan, populasi burung liar, serta pasar basah bagi mengelakkan sebarang risiko jangkitan. Ini bagi memastikan Malaysia kekal bebas daripada selesema burung dengan kawalan biosekuriti dan langkah pencegahan yang ketat.
KKM ingin menasihatkan orang ramai supaya mengamalkan langkah pencegahan seperti kerap mencuci tangan dengan air dan sabun atau menggunakan pensanitasi tangan; mengamalkan adab batuk yang baik dengan menutup mulut dan hidung ketika batuk atau bersin; memakai pelitup muka terutamanya bagi individu yang berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan atau yang bergejala; serta mendapatkan vaksinasi influenza secara tahunan.
Orang ramai juga dinasihatkan untuk segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di fasiliti kesihatan kerajaan ataupun swasta sekiranya mengalami gejala seperti demam, batuk dan selesema yang berpanjangan.
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA 6 FEBRUARI 2025 SUMBER: Kementerian Kesihatan Malaysia
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: Nama: Farahdila Wati binti Mohd Khamde Khuzaini Pegawai Perhubungan Awam Unit Komunikasi Korporat Kementerian Kesihatan Malaysia Tel : +603-8883 3470 Faks : +603-8888 6187
--BERNAMA |
|
|
|
|
|