Empat PPR sekitar Lembah Klang dipilih untuk menjana impak komuniti bermakna dan lestari KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- CIMB Group Holdings Berhad (“CIMB”) mengukuhkan matlamatnya dalam memperkasa pelanggan dan masyarakat dengan inisiatif menerusi Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni MADANI) (“Program”) di empat Projek Perumahan Rakyat (“PPR”) sekitar Lembah Klang, iaitu Bukit Jalil, Lembah Subang, Perumahan Awam Seri Selangor, dan Seri Alam. Di bawah Program ini, CIMB telah memperuntukkan RM3.6 juta selama dua tahun, bagi memacu impak jangka panjang dan positif untuk kira-kira 9,000 penghuni PPR, dengan mengukuhkan pembinaan kapasiti, menawarkan peluang peningkatan kemahiran, menyediakan akses pendidikan berkualiti, serta memupuk kehidupan yang mampan.
Santuni MADANI merupakan inisiatif kerajaan yang melibatkan pemimpin dari pelbagai Kementerian Persekutuan, Agensi, Jabatan, Badan Berkanun, Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (“GLIC”) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (“GLC”) bagi merapatkan jurang sosioekonomi dalam kalangan golongan yang kurang mendapat perkhidmatan.
Pelancaran Program berkenaan dijalankan di PPR Pinggiran Bukit Jalil 2 dan disempurnakan oleh Yang Berhormat Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II, Dato’ Seri TPr (Dr.) Maimunah Mohd Sharif, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mohd Nasir Ahmad, Pengerusi, CIMB Group, Novan Amirudin, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, CIMB Group, Gurdip Singh Sidhu, Ketua Pegawai Eksekutif, CIMB Malaysia dan CIMB Bank Berhad, dan Ahmad Shahriman Mohd Shariff, Ketua Pegawai Eksekutif, CIMB Islamic Bank Berhad.
Datuk Seri Amir Hamzah berkata, “Kerajaan komited dalam memastikan tiada insan yang ketinggalan dalam usaha kami ke arah Malaysia yang lebih inklusif dan lestari. Program yang diterajui CIMB menunjukkan betapa pentingnya peranan sektor swasta dalam memperkasa golongan rentan dan menggerakkan perubahan bermakna melalui inisiatif Santuni MADANI. Usahanya untuk mengetengahkan keperluan semua lapisan umur dengan menyediakan sokongan menyeluruh khusus adalah dihargai dan sejajar dengan matlamat kerajaan dalam membina masyarakat berdaya saing dan progresif dengan mengurangkan kemiskinan, pengangguran dan keciciran persekolahan.”
Novan Amirudin berkata, “Selaku syarikat yang digerakkan oleh tujuan, CIMB komited untuk meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat dan kami berbesar hati untuk mengembangkan usaha-usaha kewangan sosial untuk mencapai lebih banyak komuniti, membantu mereka membina daya saing, memfokuskan isu-isu ekonomi termasuk kekurangan pekerjaan, akses pendidikan dan literasi kewangan. Menerusi Program ini, kami berhasrat untuk menggalakkan nilai sara diri, mencipta nilai positif jangka panjang, dan memastikan kesamarataan akses terhadap sumber dan peluang bagi individu dan keluarga demi meningkatkan kedudukan ekonomi mereka.”
“Inisiatif-inisiatif kami direka bagi menyediakan kaedah tepat, sumber dan kemahiran diperlukan untuk membina kehidupan yang mampan. Dengan memberi fokus terhadap pemerkasaan ekonomi dan keterangkuman kewangan, kami membantu individu untuk membina masa depan lebih cerah dan lestari. Usaha-usaha ini mencipta kesan berganda yang memacu perubahan bermakna dan transformatif bagi masyarakat setempat,” tambah beliau.
CIMB, menerusi CIMB Foundation, cabang tanggungjawab korporat dan kebajikan, serta CIMB Islamic Bank, akan memperkenalkan beberapa inisiatif di bawah Program tersebut khusus untuk memperkasa komuniti dalam aspek pendidikan dan ekonomi. Program berkenaan akan menangani pelbagai segmen kurang berkemampuan daripada PPR terbabit termasuk meningkatkan keupayaan pendidikan untuk pelajar sekolah rendah dan menengah, peluang untuk pelajar universiti berprestasi tinggi, latihan perguruan serta program pemerkasaan ekonomi yang menumpukan penjanaan pendapatan untuk ibu-ibu tunggal, serta usahawan mikro dan komuniti asnaf secara keseluruhan.
Bagi membantu peserta untuk menjana pendapatan, CIMB akan menawarkan Program Keusahawanan oleh CIMB Islamic, yang menyediakan latihan dan sumber kepada peniaga baharu; Program iTEKAD CIMB Islamic Rider Entrepreneur, yang menyokong pekerja ekonomi ‘
gig’ menerusi peluang keusahawanan; MicroBizReady yang diterajui oleh CIMB Foundation, menyediakan perusahaan kecil dengan kemudahan dan latihan untuk meningkatkan kesediaan perniagaan; dan Latihan Menambah Kemahiran yang menumpukan pada pembangunan kemahiran jahitan bagi meningkatkan potensi menjana pendapatan.
Dalam bidang pendidikan pula, CIMB menerusi CIMB Foundation bermatlamat untuk menambah baik literasi dan numerasi dengan meningkatkan kadar pelajar tamat persekolahan dan memberi penekanan terhadap keciciran pembelajaran – selari dengan inisiatif Program GEAR-uP untuk Syarikat Berkaitan Kerajaan yang didorong oleh Kementerian Kewangan, dengan menawarkan kelas tambahan percuma kepada pelajar daripada keluarga B40 agar mereka menerima pendidikan berkualiti, meningkatkan ekuiti dan peluang yang lebih baik untuk masa depan. Manakala, CIMB juga akan terus membantu mengatasi isu keperluan asas menerusi inisiatif seperti Program Bakul Makanan, pengagihan barangan keperluan makanan kepada isi rumah kurang berkemampuan serta Program Kembali ke Sekolah yang menyediakan pelajar dengan barangan keperluan sekolah dan pakaian seragam demi menyokong perjalanan akademik mereka.
Selaras dengan gerakan “Kita Bagi Jadi”, CIMB mengadakan hari komuniti bersama penduduk PPR, memberikan mereka peluang untuk berhubung dengan rakan kongsi Program dan penerima manfaat terdahulu. Ahli komuniti juga menerima bantuan langsung, termasuk pek makanan dan pakaian seragam sekolah untuk tahun akademik baharu. CIMB tetap berdedikasi terhadap peranannya sebagai warga korporat yang bertanggungjawab dan akan terus menyokong komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan dan golongan memerlukan melalui pelbagai program dan inisiatif di seluruh Malaysia.
Tentang CIMB CIMB Group merupakan sebuah institusi perbankan ASEAN yang terkemuka dan penyedia perkhidmatan kewangan kedua terbesar di Malaysia, mengikut aset. Disenaraikan di Bursa Malaysia melalui CIMB Group Holdings Berhad, CIMB mempunyai permodalan pasaran sekitar RM86.3 bilion setakat 30 September 2024. CIMB menawarkan produk dan perkhidmatan perbankan pengguna, perbankan komersial, perbankan borong, perbankan transaksi, perbankan Islam dan pengurusan aset. Berpusat di Kuala Lumpur, CIMB beroperasi di beberapa negara ASEAN termasuk Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand, Kemboja, Vietnam dan Filipina.
Di luar ASEAN, CIMB Group turut beroperasi di pasaran China, Hong Kong dan UK. CIMB mempunyai salah satu rangkaian cawangan perbankan yang terluas di ASEAN dengan 592 buah cawangan dan sekitar 33,000 orang pekerja setakat 30 September 2024. Unit perbankan pelaburan CIMB merupakan salah sebuah bank pelaburan terbesar yang berpusat di Asia Pasifik, bersama dengan unit perbendaharaan & pasaran dan perbankan korporat yang dinobatkan anugerah yang membentuk francais perbankan borong terkemuka Kumpulan. CIMB juga memegang 92.5% saham di Bank CIMB Niaga, Indonesia dan 94.8% saham di CIMB Thai, Thailand.
Klik di sini untuk muat turun foto:
https://drive.google.com/drive/folders/1-1kVXIPy2_X0aIbsO0-mZ7UkqaxOcwT6Kapsyen foto:
Ahmad Shahriman Mohd Shariff, Ketua Pegawai Eksekutif, CIMB Islamic Bank (kanan), Novan Amirudin, Ketua Pegawai Eksekutif, CIMB Group (tiga dari kanan), Yang Berhormat Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II (tengah), Dato' Seri TPr (Dr.) Maimunah Mohd Sharif, Datuk Bandar Kuala Lumpur, (lima dari kiri), Tan Sri Mohd Nasir Ahmad, Pengerusi CIMB Group (empat dari kiri), dan Gurdip Singh Sidhu, Ketua Pegawai Eksekutif, CIMB Bank dan CIMB Malaysia (dua dari kiri) bersama wakil penduduk dari empat PPR terlibat di majlis pelancaran Program Satu Pemimpin Satu Kampung CIMB. SUMBER : CIMB Group
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Anis Azharuddin / Kelvin Jude Muthu
Kumpulan Komunikasi Korporat
CIMB Group Holdings Berhad
E-mel: anis.azharuddin@cimb.com / kelvinjude.muthu@cimb.com
--BERNAMA