Mac 12, 2025 -Rabu

 
  VAKSIN INFLUENZA PERCUMA UNTUK WARGA EMAS YANG LAYAK SUATU LANGKAH PROGRESIF, TINGKATKAN KESEJAHTERAAN DI USIA EMAS

Monday 10/02/2025



KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Warga emas iaitu mereka yang berumur 60 tahun ke atas yang mempunyai sekurang-kurangnya satu (1) penyakit kronik (diabetes, penyakit respiratori, jantung, obesiti, hipertensi, dislipidemia, atau penyakit buah pinggang kronik) akan menikmati vaksin influenza secara percuma bermula 18 Februari 2025

Ini adalah pengembangan skop Program Imunisasi Influenza sedia ada yang bermula pada tahun 2006, yang sebelum ini menyasarkan petugas kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di barisan hadapan.

Program vaksinasi secara sukarela ini adalah langkah progresif yang bakal memanfaatkan lebih 170,000 warga emas berisiko tinggi. Ia juga selari dengan Pelan Tindakan Perkhidmatan Kesihatan Warga Emas (PTPKWE) 2023-2030 yang dilancarkan oleh YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan pada 1 Oktober 2024.  

Perluasan program imunisasi ini bertujuan untuk melindungi lebih ramai populasi berisiko tinggi daripada komplikasi serius akibat jangkitan influenza seperti pneumonia, radang jantung dan sepsis yang boleh menyebabkan kemasukan ke hospital atau kematian.

Janji temu untuk mendapatkan vaksin boleh dibuat melalui aplikasi MySejahtera mulai 14 Februari 2025. Namun ini tertakluk kepada status agihan vaksin ke seluruh negara yang dibuat secara berfasa.

LAPORAN KEKURANGAN STOK VAKSIN INFLUENZA 


Kematian mengejut pelakon Taiwan, Barbie Hsu akibat pneumonia terkait influenza telah mengejutkan masyarakat Asia Timur, seterusnya meningkatkan permintaan orang ramai terhadap vaksin influenza. Trend ini telah menyebabkan kekurangan stok vaksin influenza dalam pasaran tempatan. 

Namun begitu, KKM ingin menegaskan bahawa kekurangan stok ini hanyalah bersifat sementara. Bekalan vaksin untuk jangka sederhana juga adalah mencukupi bagi tujuan pelaksanaan pelan imunisasi sedia ada termasuk untuk jemaah haji dan umrah. Di samping itu juga, Program Perkhidmatan Farmasi KKM sedang mengambil langkah-langkah yang perlu untuk memastikan bekalan vaksin di pasaran swasta tempatan pulih secepat mungkin. 

EPIDEMIOLOGI INFLUENZA 

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) membuat anggaran bahawa influenza bermusim menyebabkan 290,000 hingga 650,000 kematian setiap tahun. Data oleh Agensi Keterjaminan Kesihatan United Kingdom (UKHSA) menunjukkan sekurang-kurangnya 18,000 kematian terkait influenza direkodkan sepanjang dua (2) musim sejuk antara tahun 2022 dan tahun 2024 di United Kingdom. 

Oleh itu, adalah menjadi amalan lazim untuk golongan berisiko tinggi diberikan vaksin influenza sebelum bermulanya musim sejuk di negara itu agar mereka yang dijangkiti tidak mengalami komplikasi serius, dan sistem kesihatan awam negara berkenaan tidak terbeban akibat sebarang gelombang jangkitan. Golongan berisiko tinggi ini termasuk:

· Warga emas dan mereka yang hidup dalam fasiliti penjagaan jangka panjang seperti rumah warga emas
· Wanita hamil, sehingga dua minggu selepas kehamilan;
· Kanak-kanak berumur dua tahun ke bawah;
· Penghidap penyakit asma atau penyakit paru-paru kronik seperti penyakit kronik obstruktif paru-paru (COPD) and fibrosis kistik;
· Mereka yang mempunyai penyakit jantung;
· Sesetengah golongan kurang upaya terutamanya mereka yang mempunyai masalah fungsi otot, fungsi paru-paru, atau kesukaran untuk batuk, menelan atau mengeluarkan bendalir daripada saluran pernafasan;
· Mereka yang mengalami gangguan metabolisme (seperti gangguan metabolisme diwarisi dan gangguan mitokondria);
· Mereka yang mengalami gangguan endokrin (seperti diabetes mellitus), buah pinggang, hati, darah (seperti penyakit sel sabit), serta neurologi dan perkembangan neurologi;
· Mereka yang mempunyai sistem imuniti yang lemah akibat penyakit (seperti HIV dan AIDS, atau sesetengah jenis kanser seperti leukemia) atau rawatan perubatan (seperti kemoterapi atau radioterapi); serta
· Mereka yang pernah diserang strok atau angin ahmar.

AMALAN TERBAIK 

Vaksin influenza disarankan untuk diambil setahun sekali oleh semua lapisan masyarakat terutamanya golongan yang berisiko tinggi termasuk warga emas. Di Malaysia, waktu terbaik untuk mengambil vaksin influenza adalah pada bulan Mac atau September, selari dengan kesiapsiagaan bagi menghadapi gelombang musim sejuk di hemisfera selatan pada Mei hingga Julai, dan gelombang musim sejuk di hemisfera utara pada November hingga Januari.  

AMALAN PENCEGAHAN OLEH ORANG RAMAI

KKM ingin menasihatkan orang ramai supaya mengamalkan langkah pencegahan seperti kerap mencuci tangan dengan air dan sabun atau menggunakan pensanitasi tangan; mengamalkan adab batuk yang baik dengan menutup mulut dan hidung ketika batuk atau bersin; memakai pelitup muka terutamanya bagi individu yang berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan atau yang bergejala; serta mendapatkan vaksinasi. 

Orang ramai juga dinasihatkan untuk segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di fasiliti kesihatan kerajaan atau swasta jika mengalami gejala seperti demam, batuk dan selesema yang berpanjangan. 

KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
11 FEBRUARI 2025 


SUMBER: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Farahdila Wati binti Mohd Khamde Khuzaini

Pegawai Perhubungan Awam
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
Tel : +603-8883 3470
Faks : +603-8888 6187

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2025 MREM . All rights reserved.